Saturday, 29 August 2009

Misi mencari cebisan hati yang tertinggal

Inshallah akan bertolak ke London petang esok dengan menggunakan perkhidmatan penerbangan tambang murah bersama emak dan ayah tercinta. Seronok rasanya berpeluang ke sana kembali. Inshallah akan ke sana untuk menghadiri majlis Graduation UCL pada 10.45, Rabu, 2 Sept. Sambil-sambil itu, bawa emak dan ayah jalan-jalan, harapnya mereka enjoy. Kalau ada peluang nak gi shopping juga. Penting ni, he he.

Tak sabar nak menghirup udara sejuk (tapi terlupa udara di London tercemar sebenarnya, hu hu) dan bertemu dengan rakan-rakan di Malaysia hall dan juga junior-junior di London. Lebih istimewa, dapat merasai suasana sambutan Ramadhan yang meriah di luar negara, istimewa sekali. London Central Mosque pasti penuh teramat, terutamanya pada malam ke 27. Teringat keseronokan dapat menyertai halaqah tadarus Al-Quran selepas subuh di sana. Rindu pula akan makanan yang sedap-sedap, kebab yang pelbagai (Turkish, Iranian/Persian, Pakistani, Morrocan etc.) dan nasi Biryani Khan's. Tetapi bulan puasa ni tak tahulah dapat pekena seround dua atau tidak.

Sekarang sahaja aku sudah mebayangkan alangkah menariknya kalau dapat berbasikal sambil melalui jalan-jalan yang sering menjadi laluanku ke tempat-tempat  di sekitar W2, ke stesen keretapi Paddington, kedai-kedai sepanjang Edgware Road, Kensington Garden, Msia Hall dsb. Wah, banyak sungguh kenangan. 

Semoga perjalanan kali ini mampu mengubat kerinduan dan aku dapat mengucapkan selamat tinggal kepada London properly, bukan seperti tahun lepas.

Inshallah kembali ke tanahair pada Ahad seterusnya, 6 Sept.


Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com

Saturday, 22 August 2009

Erti pengorbanan

Ustaz Nazri sedang bersiap-siap di hadapan sebelum memulakan kuliah maghribnya. Al-quran besar diletakkan di atas rehal sambil beliau cuba-cuba membaca mushaf tersebut dalam kedudukan berdiri ketika solat, takut-takut tak nampak ketika mengimami solat tarawikh nanti. 

Sementara itu, aku pula mencari tempat duduk yang sesuai. Ruang kosong berhampiran tempat duduk Dato' Baharom di tengah-tengah perkarangan masjid itu menjadi pilihanku. 

Ikutkan hati mahu saja aku duduk dekat-dekat dengan meja Ustaz Nazri, sepertimana zaman sekolah dulu, semua orang bersesak-sesak mahu mendekati guru, ikut contoh para sahabat. Tapi di masjid-masjid, semuanya mahu menjauhkan diri dari guru, tiang-tiang dan dinding-dinding lebih menjadi pilihan. Aku segan untuk ke hadapan, lebih-lebih lagi tak bawa buku.

Suasana Di dalam Masjid Bandar Bukit Puchong, sebelum ia dibuka secara rasmi Ogos lepas.

Ketika itu, aku masih lagi dalam keadaan yang mixed feeling setelah melalui siang yang lain daripada biasa. Rasa macam tak percaya juga. Apapun syukur. Juga syukur kerana dapat menjejakkan kaki ke sekolah Ramadhan tahun ini.

Di dalam keheningan malam itu, hatiku terasa tenang sekali, fikiranku melayang. Aku teringat betapa pada Jumaat yang lepas, aku sedang sibuk dan teramat risau akan kerja. Betapa aku terasa tertekan dalam minggu-minggu sebelum ini. Kini semuanya bagaikan sudah hilang. Alhamdulillah.

Sambil-sambil merenung pengalaman itu, tiba-tiba baru aku tersedar, mungkin cabaran dan tekanan yang aku lalui sebelum ini adalah tarbiah daripada Allah. Allah mahu mengajarkan aku erti pergantungan kepada-Nya, erti sabar, erti usaha, serta erti pengorbanan.

Memang benar, betapa manisnya dapat menyelesaikan tanggungjawab dengan baik. Terasa puas dapat mencapai matlamat yang ditetapkan. Juga bangga dengan diri sendiri kerana mampu melaksanakan tugasan yang diberikan.

Tetapi, semua itu tidak akan dikecapi tanpa usaha yang gigih. Perlu bermujahadah menghadapi pengalaman-pengalaman seperti tidak dapat tidur, merayu meminta tolong, tertekan dek expectation dan demand yang tinggi daripada bos, stress akibat masalah yang timbul ekoran miscommunication, terhimpit dengan working window yang sangat sempit dsb. 

Benarlah pesan para Ustaz, bersabar dan solat. Ketika tekanan memuncak, di mana hampir-hampir kerja aku tidak dapat dilaksanakan kerana pihak Transmission tidak maklum akan kerja yang akan dilakukan, tidak ada apa lagi yang boleh ku gantungkan harapan melainkan kepada Maha Pencipta. Solat hajat dua rakaat didirikan sebelum tidur. Ku pinta moga-moga esok akan ada jalan keluar bagi membolehkan kerja aku itu dilaksanakan juga. Tidurku tidak lena. Sekejap-sekejap terjaga. Aku hanya mampu berdoa 'Rabbi Yassir wala tu-'assir, Rabbi tamim bil khair'

Alhamdulillah, esoknya satu persatu jalan dibuka. Bos Transmission beri greenlight. Standby engineer pun sudah lembut hati untuk membantu. NLDC beri kelulusan. Akhirnya pada tengah hari Sabtu lepas semuanya selesai dan sedia untuk bekerja pada malam Sabtu itu. Kerja pada malam sabtu pun berjalan dengan lancar dan cepat sekali. Kami berjaya menyelesaikan masalah kejanggalan yang dikesan. 

Kami berasa sangat gembira setelah berhempas pula berkali-kali untuk menyelesaikan masalah tersebut. Dan akhirnya kerja pada Sabtu lepas telah mengakhiri espisod yang getir bagi kes tersebut.

Pengalaman telah menjadi guruku. Pengalaman telah membuktikan sebenarnya aku mampu melaluinya. Hanya aku perlu berkorban demi mencapai matlamat yang besar itu. Tanpa pengorbanan, mungkin aku tidak akan berjaya. Itu dalam urusan dunia, apakah aku akan bersikap sedemikian juga dalam urusan akhirat? Muhasabah diri.

Teringat akan aktiviti bersama En Fauzi di OBM dahulu. Kami diminta untuk meregangkan getah sekuat-kuatnya. Kemudian diminta melihat perubahan yang berlaku terhadap getah tersebut. Ia telah berkembang, dari situ dia menyimpulkan, kita manusia pun sama, untuk berkembang kita perlu stretch, dan tentunya ia menyakitkan.

Alhamdulillah, gembira apabila dapat discover benda baru melalui pengalaman, semoga pengalaman ini mematangkan aku dan menyediakan aku untuk mencapai cita-cita yang lebih besar, insha-Allah.

Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com

Thursday, 20 August 2009

The workstations

Ketika membelek-belek gambar di dalam album Picasa 3 ku, tiba-tiba pandanganku tertarik kepada gambar yang sangat ringkas ini.

Ya sememangnya tidak ada apa-apa sangat di dalam gambar ini. Hanyalah sebuah meja yang penuh dengan ala-alat keperluan belajar ala-ala pejabat dengan susunan yang kemas. Terasa senang sekali melihatnya. Tapi ini gambar ketika x buat kerja, kalau dak mula kerja sure berselerak. Apapun inilah dia tempat yang menyimpan pelbagai kenangan buat diriku sewaktu tahun keempat di UK. Meja pelbagai fungsi sebenarnya, meja study-tempat berhempas pulas menyiapakan projek akhir tahun dan juga last minute revision sebelum final exam, tempat meletak teh WMA, tempat menghidang makanan buat tetamu, tempat meletak wallet para tetamu undangan dan tidak kurang penting, tempat main game bagi ahli rumah, hehe.

Meja tahun ketiga. Sempit sahaja.

Meja tahun kedua. Ini barulah dikatakan susunan yang menggambarkan suasana sebenar. Tetapi komputer twinhead dan PDA tu bukan milikku. Ia adalah milik orang kuat FOSIS suatu ketika dahulu.

Meja tahun pertama. Ruangan yang mewah. Luas sekali.

Aduh Suhaib, memang betullah hatiku masih lagi di UK, tengok gambar-gambar ni buat nostalgia je....


Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com

Tuesday, 18 August 2009

Lega

Alhamdulillah, kehidupan kembali normal. Beban kerja berkurangan buat sementara. Stategiku menyiapkan kerja awal-awal membuahkan hasil, minggu ini tak payah sibuk-sibuk sangat. Segan dan malu pula apabila melihat kembali entry yang lepas yang penuh emosi, hu hu.

Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com

Tuesday, 11 August 2009

How to succeed in PEP interview

Assalammualaikum.

Nampaknya junior-junior ku ramai yang sudah pulang ke Malaysia dan sudah dipanggil untuk temuduga PEP ke 34.  Wah cepatnya masa berlalu....

Ok adik-adik, pertama sekali kalau nama temuduga, mana-mana kompeni same je. Bace je panduan di internet tu. Apa yang ada kat internet tu benda yang basic dan common la. So aku tak perlu terangkan pasal tu. Lagipun aku tak bercadang nak tulis panduan yang panjang lebat kat sini.

Secara ringkasnya mungkin ini beberapa perkara yang korang patut tahu

  • Be Confident
    TNB sangat suke kepada calon-calon yang mempunyai keyakinan diri yang sangat tinggi. Asal ada peluang untuk menonjolkan diri sahaja, ambil. Biar nampak macam mencapub atau poyo.  Tak pe bukan salah pun, itu usaha nak mencari rezeki yang halal juga. Asal niat korang suci murni sudah. Suara mesti dikeluarkan dengan kuat dan dengan penuh ketegasan/keyakinan. Aku pernah kena tegur dalam bab suara terlalu lemah. Kalau time speaking tu, pastikan ade accent british or american sikit, biar diorang teruja sikit, maklumlah mostly orang agak superficial di Msia ni, hu hu.
  • Basic knowledge
    Mana-mana kompeni, korang kena tahu lah, maklumat pasal misi,visi, bahagian dan siapa orang-orang besar. Benda-benda tu boleh cari dalam website korprat TNB
  • Soalan
    Macam-macam soalan yang boleh ditanya. Bergantung kepada siapa ahli panel yang menduga korang. Tapi basically boleh dipecahan kepada beberapa kategori soalan seperti personal background, academic skills and knowledge (final year project etc), technical skills and knowledge, your career aspiration, your perspective on TNB. Kalau nak tulis semua, tak tidur pula aku (dah ngantuk ni). Ambil peluang untuk nyatakan hasrat atau minat nak kerja di division mana. Kalau nak keje dengan aku, mintalah protection KL, hehe. Kalau dia tanya kenapa KL, cakap je ko sukakan cabaran, KL memang sangat mencabar. Aku tahu protection kat KL tak cukup orang. Aku buat CBM je.
  • Impress the panelist
    Again, confidence is the key. Tak perlu menggunakan ayat-ayat bombastik, cukup dengan mengeluarkan idea dengan jelas dan teratur.
  • Make dua and tawakkal
    Above all, Allah jua yang menentukan, kita hanya berusaha, rezeki Allah dah tentukan. Kita minta agar Dia mengurniakan kita jalan yang terbaik untuk kita di dunia dan di akhirat sana.
Itu ajelah yang mampu aku fikirkan buat sementara ini. Macam aku ceritakan sebelum ini, pengalaman interview aku bukanlah suatu yang menyenangkan, so aku tak dapat memberikan banyak petua kerana aku terlalu beremosi ketika itu, hu hu.

Wallahua'lam

Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com

What a cool song


http://www.youtube.com/watch?v=dPpZz54yJu0

Tak tahu pula suara dia memang mantap. Patut le ramai orang suka sampai dapat pangkat Dato'. Ingat pesan dia, "Berpandukan Keimanan!"
Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com

Sunday, 9 August 2009

yeay

  1. Dapat menunggang basikal kembali
  2. Kerja siap juga akhirnya.

Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com

Saturday, 8 August 2009

Ya salam...

Ya salam...!

Begitulah luahan rakanku apabila tertekan. Aku tak tahulah samada ia datang dari sunnah atau sekadar ucapan biasa sahaja.

Apapun, kini aku rasa aku juga ingin mengucapkannya. Terasa begitu letih, lemah semangat dan muak dengan bebanan kerja yang agak melampau. Harapan yang terlalu menggunung tinggi daripada orang atasan, malah bukannya satu, mereka mahu aku melakukan macam-macam. Kalau boleh semuanya dilakukan serentak dan siap sekelip mata sahaja. Siang dan malam, hari bekerja mahupun hujung minggu mesti buat kerja. Pejabat mesti datang, tapak mesti turun. Aduh, sungguh jiwaku terseksa, badanku terdera.

Ada juga suatu pagi, ingin saja menangis, mengenangkan keadaan diri ini. Malangnya air mataku tersekat, tidak mengalir, mungkin hati ini terlalu keras. Hanya doa dan keyakinan kepada qada' dan qadar-Nya sahaja menjadi pengubat jiwa. Juga menahan diri daripada bertindak gila. Ya Allah...

Kadangkala terbit di hati ini kekesalan. Kesal sekali mengenangkan keadaanku ini. Kecewa kerana seperti menjadi mangsa keadaan. Sepatutnya aku ditempatkan di unit yang berbeza, unit yang sangat ku minati. Tetapi kerana ketiadaan orang untuk mengisi kekosongan jawatan yang sedang ku sandang ketika ini, maka aku telah di ambil untuk mengisinya. Mereka bermati-matian tidak mahu melepaskan aku ke unit yang satu lagi meskipun telah keluar surat berkenaan penempatanku di unit tersebut. Geram pun ada.

Jelasnya aku sekarang melakukan kerja yang bukan aku minati sepenuhnya. Apapun itulah kehidupan, kita tidak akan sentiasa mendapat apa yang kita inginkan. Semakin jauh kita berjalan, semakin banyak jugalah ujian yang perlu ditempuhi. Ye lah usia bertambah, kematangan kenalah bertambah. Yang pasti semua perkara ada hikmahnya, cuma aku sahaja harus bersabar. Bahkan ramai lagi yang diuji dengan ujian yang lebih hebat seperti ditimpa penyakit, dipenjarakan, kehilangan orang tersayang dan sebagainya. Semoga Allah mengurniakan aku kekuatan dalam melalui liku-liku kehidupan ini. Moga-moga jalan ini bakal menjadi jalan yang terbaik buat diri ini, di akhirat sana dan di dunia ini.

Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com

Thursday, 6 August 2009

Apa itu perkahwinan?

Melihat gambar-gambar perkahwinan Ikmal di Facebook membuatkan aku teringat akan satu persoalan yang kadang-kadang tenggelam timbul dalam kotak fikiranku ini.
Apa itu perkahwinan?
Sudah banyak ceramah yang aku dengar tentang perkahwinan. Tidak kurang juga membaca mengenainya. Kalau dilihat kitab-kitab, semuanya hampir sama sahaja. Akan bermula dengan hadith-hadith kepentingan mendirikan rumahtangga, kemudian panduan memilih pasangan, seterusnya hukum hakam dalam perkahwinan dari sebelum bernikah hinggalah kepada membesarkan anak.

Walaubagaimanapun, sampai sekarang aku masih merasakan ia seakan-akan suatu misteri. Sesuatu yang begitu sukar untuk aku garap maknanya. Apakah ertinya yang sebenar? Bagaimanakah ia boleh menjadi sehingga separuh daripada agama? Dan, apakah aku bersedia menghadapinya? Betullah kot kata Ust Has, kena kahwin dulu baru tau. Hu hu.

Ramai dah kawan-kawan yang mendirikan rumah tangga. Tahniah dan semoga berbahagia buat kalian. Setiap kali pergi ke kenduri kahwin, yang mana wajib bagi kita hadiri sekiranya dijemput, aku tumpang gembira. Cuma terkadang, termenung seketika memikirkan persoalan di atas...


Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com

Bila nak keluar?

Pertama sekali, ku panjatkan kesyukuran ke hadrat ilahi kerana sekali lagi aku diberi peluang untuk menulis, biarpun tulisanku ini tak de lah sehebat mana. He he.

Aku amat terharu apabila mengetahui ramai juga yang ternanti-nanti bilakah akan keluarnya edisi ketiga kisah Dari Camberley ke Kepong. Ada saja yang bertanya bila nak keluar yang seterusnya. Terima kasih di atas sokongan kalian. Aku ingat ceritaku biasa-biasa sahaja, maklumlah aku rasa aku ni macam tak reti bercerita. Kalau sekadar menerangkan tu boleh la. He he. Terima kasih sekali lagi, sekurang-kurangnya usahaku menulis sehari suntuk untuk satu episod berbaloi.

Rakan-rakanku, seperti yang pernah kuceritakan sebelum ini, jadualku sejak beberapa minggu ini agak padat. Kerja selalu sahaja lebih masa (tapi exec tak de OT laa. Hu hu). So agak sukar untuk mencari masa berkreatif. Keletihan setelah bekerja, susah nak dapatkan mood yang sesuai, seterusnya sukar merangsang idea untuk menulis. Mungkin ia juga satu alasan. He he

Sekarang ni tengah pulun siapkan kerja. Since aku baru sahaja ambil alih tugas orang, sudah pasti terlalu banyak perkara yang perlu dipelajari dan diuruskan. Malah aku merancang untuk cuti hujung bulan ini. So kena pastikan kerja-kerja siap sebelum itu. Mudah-mudahan tak pecah kepala apabila kembali ke pejabat selepas cuti.

Apapun doakanlah semoga aku dapat menyelesaikan tugas-tugas pentingku dengan segera agar dapat ku meluangkan sedikit masa untuk meneruskan/menamatkan cerita yang masih lagi terhutang itu.

Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com

Wednesday, 5 August 2009

CBM

Fikiran ku agak buntu sejak akhir-akhir ini. Buntu memikirkan apa yang boleh dikongsikan bersama bagi mengisi kekosongan blog yang sudah beberapa hari tidak dikemaskini.

Oh, sebenarnya bukan fikiranku yang buntu tetapi sebaliknya otakku telah tepu dengan hal-hal kerja sehingga tak ada ruang lagi memikirkan untuk menulis. Disebabkan ditegur oleh seorang kawan lama di Grik dahululah, aku menggagahkan diri untuk menulis juga biarpun belum tahu lagi apa yang nak diceritakan.

Mungkin elok juga aku ceritakan apa kerja terbaru aku sekarang ini. Sekarang aku telah ditugaskan sebagai jurutera senggaraan 33 kV, walaupun surat yang baru dihantar oleh HR Division baru-baru adalah sebagai jurutera Perlindungan. Ah itu politik kerja, tidak perlu dimasukkan di sini he he. Oops lari topik. Sebagai Jurutera Senggaraan, aku dikhususkan menguruskan kerja-kerja CBM. Kerja menguruskan senggaraan pencawang dilakukan oleh jurutera senggaraan yang lain.

CBM bererti Condition Based Monitoring. Kerjanya adalah untuk melihat, mendengar dan mengukur kadar kesihatan pepasangan elektrik di dalam pencawang. Dengan menggunakan alatan yang sesuai, kita dapat melihat kadar kepanasan, bunyi dan ukuran Transient Earth Voltage yang dikeluarkan daripada pepasangan tersebut. 


Fuse link yang panas

Link box dan earthing cable yang terlalu panas

Kepanasan dilihat dengan menggunakan infrared camera seperti dalam cerita predator tu. Sama seperti manusia, kalau demam suhunya akan naik. So kalau suhu terlampau tinggi, kenalah diubati. Maka adalah menjadi tugasku untuk menguruskan orang memperbaiki alat yang kepanasan itu agar kesihatannya kembali normal.

Begitu juga dengan bunyi, kalau manusia, doktor menggunakan stetoskop untuk mendengar degupan jantung dan kelancaran pernafasan. Maka dengan menggunakan mikrofon dan amplifier berprestasi tinggi, kita akan dapat mendengar bunyi-bunyi yang dikeluarkan oleh alat-alat yang bermasalah. Sama seperti orang yang lelah, tentu bunyinya kuat dan lain macam. So prinsip yang sama juga digunakan dalam hal ini.

Menurut TKJ ku, kerja-kerja ini sangat penting kerana ini merupakan benteng pertama dalam mempertahankan daya harap sistem pembahagian. Kalau nak mengharapkan routine maintenance atau preventive maintenance, ia terlalu lambat. CMB dijalankan setiap 6 bulan dan 2 buan bagi pencawang yang sangat penting. Malah jika berharap kepada kaedah biasa sahaja, kejanggalan tersebut belum dapat dipastikan dapat dilihat dengan mata kasar.

Harap-harap tidak ada yang pening membacanya. Aku cuba mengelakkan menggunakan jargon di dalam menerangkan hal ehwal kerja aku ini.

Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com