Aku kembali ke tanah air dengan penuh optimis. Aku tahu besar kemungkinan aku tidak akan bertemu jalan keluar. Meskipun begitu, berbekalkan sekelumit harapan, ku kuatkan semangat untuk terus mencuba. Aku sempat bertemu dengan Nik Azmi untuk bertanyakan prosedur untuk mendapatkan visa untuk bekerja di UK sebagai persediaan kalau-kalau aku dapat bekerja di UK. Aku juga telah memohon penangguhan untuk melaporkan diri selama sebulan daripada Fluor bagi memaksimakan masa untuk mencari jalan melepaskan diri daripada YTN.
Setelah mencuba pelbagai cara, baik rayuan mahupun perbincangan dengan orang atasan, tiada satupun yang berhasil. Malah orang yang memberi sokongan kepadaku untuk bekerja di UK suatu ketika dahulu pun sudah bertukar pandangan. Pada suatu Jumaat, seusai mendirikan solat tahiyatul masjid dekat Tanjung Malim, aku duduk merenung akan kedudukanku. Kemudian aku tersedar, “bukankah halangan-halangan ini merupakan petunjuk daripada-Nya bahawa masa depanku adalah di Malaysia? Bukankah aku pernah memohon kepada Allah agar melorongkan daku ke jalan yang terbaik? Mungkin inilah jawapannya...” Maka dari itu aku cuba menenangkan diri menerima hakikat yang amat berat buat diriku ketika itu.
Di samping itu, setelah mengenangkan betapa banyaknya yang aku perlu bayar kepada YTN kalau pecah kontrak (hampir 0.7 juta Ringgit dan perlu dibayar dengan serta merta. Mana nak cari duit sebanyak itu? Nak masuk mahkamah lagi susah) dan juga hakikat bahawa penjaminku juga bekerja di TNB (jenuh nan menanggung rasa malu dan segan apabila mendengar orang berkata orang dibawah jaminannya itu tak mengenang jasa TNB), akhirnya pada bulan September, aku terpaksa melepaskan peluang untuk bekerja di Camberley dengan menolak tawaran mereka biarpun hati ini ingin benar mencuba nasib di sana. Fluor yang mengetahui kedudukanku yang terikat dengan YTN pun tak dapat menolong. Maka, aku dilepaskan begitu sahaja.
Setelah keputusan dibuat, aku pun mengutuskan pesanan kepada Isa dan DZ untuk menghantarkan kotak-kotak yang masih lagi tertinggal di Lapworth Court. Banyak juga barang-barang yang ku tinggalkan. Semuanya ada nilai-nilai sentimental tesendiri. Selagi barang-barang itu masih lagi ada di sana, aku merasakan perpindahanku ke Malaysia tidak lengkap, seolah-olah sebahagian diriku masih lagi berada di sana. Pernah juga aku berfikir untuk terbang sahaja ke London untuk menguruskan pengangkutan barang-barangku itu. (Sebenarnya, ada sesuatu yang lebih kuat yang membuatkan aku untuk ke sana. Nak uruskan barang itu jadi alasan sahaja, tetapi tak jadi juga akhirnya.)
Biarpun keputusan telah dibuat, hatiku masih lagi terasa ralat kerana terpaksa melepaskan peluang untuk bekerja di UK. Aku sedar bahawa aku tiada pilihan lain kecuali terpaksa bekerja dengan TNB sahaja. Pasrah…
Temuduga
Aku telah dimaklumkan bahawa sebelum diterima bekerja dengan TNB, aku dikehendaki hadir temuduga terlebih dahulu. Mengetahui akan hal itu, aku berasa sangat tidak berpuas hati. “Apakah scholar pun kena hadir interview?!” fikirku. Tetapi memandangkan kaki dan tangan sudah diikat, aku akur sahaja. “Mungkin TNB cuba menunjukkan ia bersikap telus dalam mengambil pekerja baru” ujarku kepada diri sendiri bagi merasionalkan tindakan mereka sebagai memujuk hati yang down.
Jika aku terpaksa melupakan hajat ke UK dan menghabiskan umurku sekurang-kurangnya tujuh tahun di TNB sebelum kontrakku tamat, aku tidak mahu umurku berlalu begitu sahaja. Sekurang-kurangnya sesuatu harus dicapai. Maka aku cuba berfikiran positif dan akan cuba memberikan yang terbaik ketika interview kelak agar mendapat yang terbaik.
Tarikh interview langsung tidak dinyatakan. Aku sentiasa ternanti-nanti bilakah akan dipanggil untuk interview. Aku agak kecewa dengan cara pengurusan yang sedemikian. Terasa amat seksa apabila dibiarkan tergantung begitu sahaja. Aku sering meluahkan kekecewaanku itu setiap kali bertemu dengan rakan-rakan London.
Pada 24 Oktober barulah aku dipanggil untuk interview sesi pertama. Alhamdullillah, ia berjalan dengan baik.
Interview yang ke dua berlangsung beberapa minggu kemudian. Dalam interview sesi kedua, aku dapat impression bahawa interviewer tu akan letakkan aku buat kerja-kerja programming. Frust gila, aku nak kerja kat field, bukan programming. Lagipun aku dah bosan buat kerja-kerja macam tu. Ditambah pula dengan komen serta kritikan yang mana, pada aku tidak relevan dan valid langsung daripada ahli panel penemuduga. Panas hati dibuatnya. Selepas habis sesi interview, dengan hati yang panas dan pedih, aku terus mengisi borang borang-borang yang tak terisi lagi dengan membuta-tuli sahaja sebagai tanda protes. Sebelum keluar, aku sempat meluahkan rasa frust ku kepada kawan YTN di situ,”Kalau macam ni baik aku kerja kat UK.” (Sekali lagi, UK menghantuiku. Masih lagi tidak dapat melupakannya). Tanpa menunggu lebih lama, aku terus memecut Kelisa milik ibuku ke rumah.
Sudah masuk bulan Disember. Keputusan interview kedua tak dapat-dapat lagi. Kalau ikut, katanya 1 Disember keputusan akan keluar. Beberapa hari kemudian barulah aku tahu keputusan terpaksa ditangguhkan sehingga ke suatu tarikh. Penantian itu sangat menyeksakan. Aku menjadi semakin frust dengan ketidak-tentuan itu.
Kursus Orientasi
Penangguhan demi penangguhan, akhirnya 15 hb masuk kerja di ILSAS bersama rakan-rakan PEP 33 yang untuk menjalani kursus orientasi terlebih dahulu. Setelah melaporkan diri, barulah ku tahu bahawa sebenarnya penangguhan itu ada kaitan dengan arahan terbaru oleh kerajaan bagi menghentikan pengambilan pekerja baru oleh GLC ekoran kegawatan ekonomi. Disebabkan kami telahpun ditemuduga, pihak TNB berasa simpati dan telah membuat keputusan untuk mengambil kami juga. Pengambilan seterusnya tidak tahu lagi bila. Alhamdulillah dapat juga kerja di kala ramai yang mengangur. (Tidak patut sungguh aku bersangka buruk terhadap TNB)
Dalam kursus tersebut, ramai big guns of TNB telah dijemput. Welcoming speech by VP HR, Datuk Kamaruzzaman Jusoh was really inspiring. Datuk Kamaruzzaman kata, kerja dengan TNB sebenarnya adalah satu peluang bagi kita berkhidmat untuk masyarakat sebenarnya kerana menyediakan keperluan asas kepada semua orang. Aku rasa rendah diri mendengar kata-kata tersebut. Pertama kali aku berjumpa beliau adalah semasa beliau bertugas sebagai pengarah YTN. Beliau pernah datang ke London, memberi taklimat dan menasihatkan para scholars agar menukarkan degree BEng kepada MEng. Aku sangat kagum melihat bagaimana beliau memulakan kerjayanya sebagai jurutera seperti kami dan kemudian berjaya memajukan diri sehingga dilantik sebagai VP, antara jawatan tertinggi dalam TNB.
Begitu juga sesi bersama SVP. Pengalaman kerja beliau lebih lama daripada usia kami. Dengan gayanya yang penuh berkeyakinan dan cerita yang menarik, aku telah digula-gulakan dengan sedikit harapan. Aku ingat lagi, semua penceramah yang datang memberikan harapan agar satu hari nanti, salah seorang daripada kami akan memegang jawatan mereka termasuklah CEO dan ianya tidak mustahil. Contohnya jelas di depan mata.
Aku juga telah dibasuh agar berbangga dengan TNB kerana ia telah berjaya meletakkan dirinya sebagai sebuah syarikat yang terhormat dengan pelbagai award, antaranya Anugerah Kualiti Perdana Menteri. Malah terlalu banyak keistimewaan yang ada dalam TNB tidak ada pada syarikat lain. Akhirnya aku dapati diriku menjadi sedikit jinak, malah menyemat azam dalam diri, suatu hari nanti aku akan menjadi seperti salah seorang daripada big guns itu.
Di dalam kursus tersebut, selain daripada mendengar ucapan daripada pegawai-pegawai atasan, kami diberikan pendedahan tentang syarikat dari segi operasi dan business, dan macam-macam lagi. Di hujung kursus, barulah ku tahu bahawa aku ditempatkan dalam bahagian Pembahagian (Distribution). Namun, dimana akan ditempatkan, kami tidak diberitahu. Tetapi Puan Razana mengatakan, sudah menjadi amalan di dalam TNB, new exacs tidak akan ditempatkan di negeri yang sama dengan alamat rumah mereka. Kami hanya akan tahu di mana kami akan ditempatkan setelah melaporkan diri di ibupejabat bahagian masing-masing. Aku berasa sedikit gusar, tetapi entah mengapa ada juga rasa tidak kisah.
Krisis kepimpinan
Sebenarnya, di permulaan kursus, kami dikehendaki melantik seorang penhulu, penghuluwati dan imam. Tugas penghulu adalah antaranya adalah menjaga kebajikan para peserta PEP dan juga menjadi contact person antara PEP dengan HR. Sewaktu pelantikan dibuat, kami diminta untuk menawarkan diri untuk bertanding. Seingat aku ada 5 orang (tak ingat bilangan yang tepat) yang menawarkan diri untuk menjadi penghulu. Aku tidak menawarkan diri kerana merasakan tidak mahu menonjolkan diri di samping merasakan mungkin ada orang yang lebih layak. Maklumlah di kolej dulu kalau nak jadi Pres kena jadi orang yang power. I think I’m not up to the standard.
Di akhir kursus orientasi, berlaku sedikit kejutan. Rombakan kepimpinan kumpulan PEP 33 telah dibuat. Sememangnya aku ingin melihat sedikit perubahan dalam kepimpinan ketika itu, tetapi tidak ku berani untuk menggalas tanggungjawab tersebut, malah aku lebih suka duduk di belakang melihat dari jauh sahaja.
Di dalam rombakan itu, aku telah dipilih sebagai penghulu yang baru. Mengepalai sekumpulan manusia sebesar itu (85 orang new exacs) merupakan satu pengalaman baru bagiku. Aku tak tahu macam mana nak handle. Seingat aku, paling tinggi pernah aku pegang adalah ketua kelas je. Kaget sungguh. Apapun, satu perkara yang aku belajar daripada Saravanan semasa dia menjadi penghulu adalah pentingnya seorang pemimpin itu untuk melihat jauh ke hadapan. Aku masih ingat dia tanya, apa yang boleh kita lakukan untuk menjadikan group kita lebih baik?
Bermulanya kerjaya seorang jurutera
Minggu kedua selepas melaporkan diri, aku dan rakan-rakan PEP yang ditempatkan dalam bahagian Pembahagian diarahkan terus ke ibu pejabat Pembahagian di Jalan Timur, PJ. Pagi Isnin itu, kami sempat menghadiri morning talk session bersama pegawai-pegawai HR Distribution di Jalan Timur. Kami telah diminta untuk memperkenalkan diri. Selepas itu kami mendengar ucapan daripada pegawai-pegawai di sana. Kebetulan pada hari itu, En Safwan diminta membuat ucapan sempena kenaikan pangkatnya. Ucapannya sangat bersahaja tetapi penuh dengan pengajaran. Beliau sempat berkongsi minatnya hiking, riadah katanya. Apapun kata-katanya yang memberikan kesan kepadaku hingga hari ini adalah ketika dia berkata sesuatu tentang visi, “dalam Islam doa itu boleh dilihat sebagai visi kita”. Benar katanya. Pada pandangan aku, kita hanya akan meminta apa yang kita idamkan. Apa pula doa aku setiap hari?
Selepas itu kami dibawa ke bilik mesyuarat untuk mendengar sedikit taklimat berkenaan penempatan kami. Kakak yang menguruskan kami ketika itu juga mengatakan kami akan dihantar ke tempat yang jauh dari ‘kampung’. Dalam pada itu, kakak itu juga sempat berseloroh, kalau ada master akan ditempatkan di KL. Aku sangat berharap kata-kata kakak itu benar. Akhirnya the moment of truth pun tiba. Masing-masing menanti dengan penuh debaran. Nama kami disebut satu persatu sambil dinyatakan di stesen manakah kami ditempatkan. Ada yang gembira. Tidak kurang ada juga yang kecewa. Apabila tiba giliranku, aku ditempatkan di Kuala Lumpur. Alhamdulillah. Rakan YTN yang seorang lagi (juga classmate –mathematics di KMYS dulu. Cuma aku tak begitu mengenalinya ketika itu.) pun ditempatkan di stesen yang sama denganku. Setelah semua menerima surat penempatan masing-masing, maka bertebaranlah kami ke stesen masing-masing.
bersambung...