Saturday, 8 October 2011

Tenaga

Tahukan anda bahawa secara kasar, setiap 1kW tenaga yang kita gunakan, kira-kira 3kW bahan api diperlukan. Macam tak percaya bukan, ke mana perginya 2kW lagi?


Ya, saya juga tidak percaya pada mulanya. Agak hairan dengan kehilangan tenaga yang sangat tinggi itu. Setahu saya, kalau dibahagian pembahagian tidaklah setinggi itu lossesnya. 

Apakah punca sebenarnya? Setelah difikir-fikirkan secara mendalam, barulah saya teringat akan subjek fizik yang dipelajari ketika A-Level di Lembah Beringin dahulu iaitu efficiency di peringkat penjanaan tidaklah tinggi sangat, sekitar 40%, bergantung kepada jenis teknologi penjanaan yang digunakan.

Maka ada logiknya (kenyataan di atas) jika dikatakan kira-kira 66.6% sumber tenaga yang digunakan tidak dapat ditukarkan kepada tenaga elektrik kerana kecekapan (efficiency) hanyalah sekitar 33.3%. Hal ini kerana sebahagian besar daripadanya terbebas dalam bentuk tenaga haba sahaja, bukan tenaga elektrik.

Jika di bangku sekolah, saya hanya melihat kehilangan tenaga i.e. losses itu sebagai nombor sahaja. Namun demikian setelah bekerja, dapatlah ku fahami bahawa ia memunyai makna yang lebih besar daripada itu. Lebih banyak losses, bermakna lebih tinggilah kos operasi > kurang pulangan kepada syarikat > gaji/bonus tak 'mengancam'. Maka sebagai seorang jurutera saya akan berfikir bagaimana caranya untuk menjadikan sesebuah jentera penjanaan menjadi lebih cekap.

Rupa-rupanya kesan losses yang tinggi ini tidak terhadap kepada isu teknikal & kewangan sahaja.

Pencemaran Alam
Setiap bahan bakar yang kita gunakan untuk penjanaan pasti ada sisa-sisanya, sama ada dalam bentuk asap, Green House Gas (GHG) mahupun haba. Bahan-bahan ini pula akan di lepaskan ke alam sekitar - udara, air, tanah. Seterusnya menyumbang kepada pemanasan global, ketidaktentuan iklim, peningkatan paras laut, kecairan iceberg & glacier dan macam-macam lagi. Umumnya semua orang tahu kesan-kesan yang saya sebutkan tadi, maklumlah di sekolah lagi tajuk alam sekitar ini jadi salah topik kegemaran untuk soalan karangan bahasa melayu.

Oleh yang demikian, jika banyak tenaga yang kita gunakan, maka bertambah banyaklah GHG yang akan dilepaskan dan semakin tenatlah bumi kita jadinya. Tetapi dengan penjimatan yang sedikit sahaja, pengurangan terhadap pembebasan GHG ini dapat dikurangkan dengan banyak sekali, berdasarkan nisbah disebutkan di atas.

Maka adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai pengguna untuk mengurangkan penggunaan elektrik dengan cara berjimat cermat & cekap. Gunakan tenaga mengikut keperluan bukan kemahuan!

Masyarakat
Setelah menghadiri satu forum berkaitan Iklim & Tenaga siang tadi, barulah saya sedar bahawa selain daripada kesan-kesan yang biasa kita belajar di sekolah, ada lagi perkara yang mungkin kita lupa atau kurang perasan iaitu manusia itu sendiri. Itulah, kadang-kadang kita sibuk menghadap mesin di hadapan, tetapi terlupa akan nasib manusia, yang berada di luar sana.

Sebelum pembinaan stesen penjanaan, tanah diperlukan. Sekiranya tanah tersebut melibatkan penduduk asal, mereka  akan dipindahkan. Pelbagai kejutan yang akan dialami oleh mereka yang terlibat. Bayangkan jika perkara itu  kepada diri anda dan keluarga anda sendiri. Isu pemindahan ini juga merupakan suatu isu yang besar yang mana tidak mampu untuk saya ulas lebih panjang buat masa ini.

Setelah stesen penjanaan siap dibina pula, timbul masalah pencemaran air dan udara pula. Yang paling hebat terkesan adalah penduduk yang tinggal berhampiran. Ini berdasarkan cerita oleh beberapa pihak. Pihak penjanaan pula mungkin mempunyai pandangan yang berbeza, kerana setahu saya, stesen-stesen ini adalah dibawah pengawasan DoE.

Sekiranya demand tenaga elektrik dikurangkan, maka tiadalah keperluan untuk membina stesen penjanaan yang baru. Maka kemungkinan orang yang terlibat dalam pemindahan pun kurang. Begitu juga pencemaran yang dialami berkurangan.

Green Tech
Maka penjanaan berasakan teknologi hijau & sumber tenaga boleh diperbaharui dilihat sebagai satu usaha yang boleh membantu mengurangkan permasalahan pembebasan GHG dan membantu masyarakat memperoleh tenaga dari sumber yang bersih serta membantu komuniti yang berada di kawasan terpencil untuk mendapat bekalan elektrik tanpa mengahadapi kesan-kesan buruk dari segi pencemaran dan juga kesan-kesan sosial yang lain.

Muslim
Usaha berjimat-cermat dan menjaga alam sekitar adalah selaras dengan ajaran Islam. Sebagai khalifah, kita bertanggung jawab keatas manusia & alam ini.

Ketika memandu di dalam kereta tadi, ustaz menyatakan bahawa akhlak yang baik adalah element yang sangat penting di dalam islam. Begitu juga dari segi berjimat ni. Kalau kita benar-benar menghayati, mesti kita bersungguh-sungguh untuk mencari cara untuk berjimat yang terbaik.

Lawan kepada jimat adalah membazir. Pembaziran adalah amalan syaitan. Dan kita tak boleh ikut syaitan kerana ia adalah musuh kita.

Mungkin sebab generasi dahulu benar-benar menghayati Islam mendorong mereka untuk mencari jalan terbaik untuk beribadat dsb sehingga dapat melahirkan pelbagai ciptaan-ciptaan yang hebat. Kita juga boleh mencontohi mereka dalam hal memastikan tenaga yang dihasilkan dengan cekap dan menggunakan tenaga dengan cekap serta menjadi peneraju dalam bidang ini.


Perhatian: Ini hanyalah coretan dan pandangan peribadi berdasarkan pengetahuan yang sedikit serta . Sebarang kelasahan fakta, saya mohon maaf.







Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com