Showing posts with label Camberley ke Kepong. Show all posts
Showing posts with label Camberley ke Kepong. Show all posts

Saturday, 27 February 2010

Dari Camberley ke Kepong [pt 3.2]

Masa terus berlalu dengan begitu pantas, diam tak diam sudah hampir 3 bulan aku menjalani latihan. Sekitar bulan Februari, aku sempat mengikuti Kursus Ujian PD Mapping. Aku berasa sangat teruja kerana berpeluang mempelajari teknologi baru. Setelah selesai kursus PD Mapping tersebut, aku dan seorang lagi rakan PEP 33 diarahkan untuk terus menjalankan ujian PD Mapping bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Kebetulan ketika itu tiada jurutera yang 'berkelapangan' untuk menjalankan ujian tersebut. Hanya jurutera pelatih seperti kami sahaja yang 'tak ada kerja'. Maka kami pun diarahkan untuk menggalas amanah tersebut.

Pada mulanya aku berasa agak teruja. Teruja kerana mendapat peluang bermain-main dengan gadget yang sangat mahal dan berteknologi tinggi ini serta memikirkan bahawa aku termasuk di dalam golongan pelopor dalam penggunaan alat ini. Mungkin ada peluang untuk menjadi pakar juga.





Ujian yang dilaksanakan kebanyakannya dilakukan pada litar 11 kV. Waktu ujian tak mengira siang atau malam. Kalau keluar malam keluar rumah dan kembali hampir subuh, itu perkara biasa. Selalu juga terasa letih dek rehat yang tidak cukup. Hati mula terasa berat apabila memikirkan hal demikian. Apabila selalu sangat buat perkara yang sama (ujian PD Mapping) terasa bosan pula. Ditambah pula dengan khabar angin yang kurang meyenangkan tentang jawatanku. Agak down ketika itu.

Suatu pagi, ketika memandu di satu simpang ke Yard Bangsar ketika memikirkan keadaan yang berat itu, terdetik di hatiku "Alangkah bagusnya kalau aku di UK sekarang ini". Tiba-tiba terlintas pula di benakku, "Kalau fikir lebih baik kerja di tempat lain kerana hendak elak susah, sebenarnya dimana-mana pun akan susah. Cuma bentuk ujian dan cabaran yang dilalui itu sahaja berbeza. Jika dilihat keadaan ekonomi di UK, waktu ini mereka masih lagi struggle dengan economic downturnnya. Kadar tukaran wang menurun dan laporan didalam akhbar melaporkan keadaan kelihatan agak membimbangkan. Bahkan kalau bekerja di sana, aku mungkin akan suffer menghadapi masalah loneliness etc. Dari situ, sedikit sebanyak aku belajar untuk menerima hakikat kehidupan di Malaysia ini.

Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com

Thursday, 15 October 2009

Dari Camberley ke Kepong [pt 3.1]

Hmm. Memandangkan agak kurang feasible bagi aku untuk mengarang cerita yang panjang-panjang, ada baiknya aku menulis cerita 'Dari Camberley ke Kepong'ku ini dalam bentuk mini series sahaja. Kelancaran cerita mungkin sedikit terganggu, tetapi lebih baik daripada tiada. Selamat membaca.


Dunia baru

Aku telah ditempatkan di Pejabat Pengurus Besar Kuala Lumpur, di bawah Timbalan Ketua Jurutera Senggaraaan dan Perlindungan. Tugas unit ini adalah menjalankan kerja-kerja senggaraan alat-alat pembahagian elektrik pada tahap 33 kV di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Ketibaan di pejabat Pengurus Besar Kuala Lumpur pada waktu itu agak istimewa, aku kira, kerana kebetulan pada hari tersebut ada jamuan. Maka dapatlah aku turut serta dalam masjlis makan-makan itu. Dalam jamuan tersebut aku sempat bertemu dengan Puan GM, KJ dan juga En zubir.

Dalam tempoh latihan selama enam bulan pertama ini, aku diletakkan di dalam Unit Protection. Walaubagaimanapun, HR telah menetapkan bahawa kami akan rotate dari satu bahagian ke bahagian yang lain bagi mendapatkan pendedahan yang meneyeluruh. Unit yang pertama sekali aku masuk adalah Unit Protection. Mula-mula memang sangat blur. Banyak perkara yang asing, tidak difahami dan tak tahu nak buat apa. Dalam masa yang sama, aku terasa sangat teruja melihat macam-macam benda baru. Terus, aku menjadi bersemangat untuk cuba memahami fungsi setiap satu alat dan sistem yang ditemui. Rakan PEP seorang lagi yang ditempatkan ke KL bersama aku sangat suka bertanya dan berani bertanya. Banyak yang aku pelajari daripada sikapnya yang rajin bertanya itu.


Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com

Saturday, 25 July 2009

Dari Camberley ke Kepong [pt. 2 of 3]


Optimis

Aku kembali ke tanah air dengan penuh optimis. Aku tahu besar kemungkinan aku tidak akan bertemu jalan keluar. Meskipun begitu, berbekalkan sekelumit harapan, ku kuatkan semangat untuk terus mencuba. Aku sempat bertemu dengan Nik Azmi untuk bertanyakan prosedur untuk mendapatkan visa untuk bekerja di UK sebagai persediaan kalau-kalau aku dapat bekerja di UK. Aku juga telah memohon penangguhan untuk melaporkan diri selama sebulan daripada Fluor bagi memaksimakan masa untuk mencari jalan melepaskan diri daripada YTN.
 
Setelah mencuba pelbagai cara, baik rayuan mahupun perbincangan dengan orang atasan, tiada satupun yang berhasil. Malah orang yang memberi sokongan kepadaku untuk bekerja di UK suatu ketika dahulu pun sudah bertukar pandangan. Pada suatu Jumaat, seusai mendirikan solat tahiyatul masjid dekat Tanjung Malim, aku duduk merenung akan kedudukanku. Kemudian aku tersedar, “bukankah halangan-halangan ini merupakan petunjuk daripada-Nya bahawa masa depanku adalah di Malaysia? Bukankah aku pernah memohon kepada Allah agar melorongkan daku ke jalan yang terbaik? Mungkin inilah jawapannya...” Maka dari itu aku cuba menenangkan diri menerima hakikat yang amat berat buat diriku ketika itu.
 
Di samping itu, setelah mengenangkan betapa banyaknya yang aku perlu bayar kepada YTN kalau pecah kontrak (hampir 0.7 juta Ringgit dan perlu dibayar dengan serta merta. Mana nak cari duit sebanyak itu? Nak masuk mahkamah lagi susah) dan juga hakikat bahawa penjaminku juga bekerja di TNB (jenuh nan menanggung rasa malu dan segan apabila mendengar orang berkata orang dibawah jaminannya itu tak mengenang jasa TNB), akhirnya pada bulan September, aku terpaksa melepaskan peluang untuk bekerja di Camberley dengan menolak tawaran mereka biarpun hati ini ingin benar mencuba nasib di sana. Fluor yang mengetahui kedudukanku yang terikat dengan YTN pun tak dapat menolong. Maka, aku dilepaskan begitu sahaja.
 
Setelah keputusan dibuat, aku pun mengutuskan pesanan kepada Isa dan DZ untuk menghantarkan kotak-kotak yang masih lagi tertinggal di Lapworth Court. Banyak juga barang-barang yang ku tinggalkan. Semuanya ada nilai-nilai sentimental tesendiri. Selagi barang-barang itu masih lagi ada di sana, aku merasakan perpindahanku ke Malaysia tidak lengkap, seolah-olah sebahagian diriku masih lagi berada di sana. Pernah juga aku berfikir untuk terbang sahaja ke London untuk menguruskan pengangkutan barang-barangku itu. (Sebenarnya, ada sesuatu yang lebih kuat yang membuatkan aku untuk ke sana. Nak uruskan barang itu jadi alasan sahaja, tetapi tak jadi juga akhirnya.)
 
Biarpun keputusan telah dibuat, hatiku masih lagi terasa ralat kerana terpaksa melepaskan peluang untuk bekerja di UK. Aku sedar bahawa aku tiada pilihan lain kecuali terpaksa bekerja dengan TNB sahaja. Pasrah…


Temuduga

Aku telah dimaklumkan bahawa sebelum diterima bekerja dengan TNB, aku dikehendaki hadir temuduga terlebih dahulu. Mengetahui akan hal itu, aku berasa sangat tidak berpuas hati. “Apakah scholar pun kena hadir interview?!” fikirku. Tetapi memandangkan kaki dan tangan sudah diikat, aku akur sahaja. “Mungkin TNB cuba menunjukkan ia bersikap telus dalam mengambil pekerja baru” ujarku kepada diri sendiri bagi merasionalkan tindakan mereka sebagai memujuk hati yang down.
 
Jika aku terpaksa melupakan hajat ke UK dan menghabiskan umurku sekurang-kurangnya tujuh tahun di TNB sebelum kontrakku tamat, aku tidak mahu umurku berlalu begitu sahaja. Sekurang-kurangnya sesuatu harus dicapai. Maka aku cuba berfikiran positif dan akan cuba memberikan yang terbaik ketika interview kelak agar mendapat yang terbaik.
 
Tarikh interview langsung tidak dinyatakan. Aku sentiasa ternanti-nanti bilakah akan dipanggil untuk interview. Aku agak kecewa dengan cara pengurusan yang sedemikian. Terasa amat seksa apabila dibiarkan tergantung begitu sahaja. Aku sering meluahkan kekecewaanku itu setiap kali bertemu dengan rakan-rakan London.
 
Pada 24 Oktober barulah aku dipanggil untuk interview sesi pertama. Alhamdullillah, ia berjalan dengan baik.
 
Interview yang ke dua berlangsung beberapa minggu kemudian. Dalam interview sesi kedua, aku dapat impression bahawa interviewer tu akan letakkan aku buat kerja-kerja programming. Frust gila, aku nak kerja kat field, bukan programming. Lagipun aku dah bosan buat kerja-kerja macam tu. Ditambah pula dengan komen serta kritikan yang mana, pada aku tidak relevan dan valid langsung daripada ahli panel penemuduga. Panas hati dibuatnya. Selepas habis sesi interview, dengan hati yang panas dan pedih, aku terus mengisi borang borang-borang yang tak terisi lagi dengan membuta-tuli sahaja sebagai tanda protes. Sebelum keluar, aku sempat meluahkan rasa frust ku kepada kawan YTN di situ,”Kalau macam ni baik aku kerja kat UK.” (Sekali lagi, UK menghantuiku. Masih lagi tidak dapat melupakannya). Tanpa menunggu lebih lama, aku terus memecut Kelisa milik ibuku ke rumah.
 

Sudah masuk bulan Disember. Keputusan interview kedua tak dapat-dapat lagi. Kalau ikut, katanya 1 Disember keputusan akan keluar. Beberapa hari kemudian barulah aku tahu keputusan terpaksa ditangguhkan sehingga ke suatu tarikh. Penantian itu sangat menyeksakan. Aku menjadi semakin frust dengan ketidak-tentuan itu.


Kursus Orientasi

Penangguhan demi penangguhan, akhirnya 15 hb masuk kerja di ILSAS bersama rakan-rakan PEP 33 yang untuk menjalani kursus orientasi terlebih dahulu. Setelah melaporkan diri, barulah ku tahu bahawa sebenarnya penangguhan itu ada kaitan dengan arahan terbaru oleh kerajaan bagi menghentikan pengambilan pekerja baru oleh GLC ekoran kegawatan ekonomi. Disebabkan kami telahpun ditemuduga, pihak TNB berasa simpati dan telah membuat keputusan untuk mengambil kami juga. Pengambilan seterusnya tidak tahu lagi bila. Alhamdulillah dapat juga kerja di kala ramai yang mengangur. (Tidak patut sungguh aku bersangka buruk terhadap TNB)
 
Dalam kursus tersebut, ramai big guns of TNB telah dijemput. Welcoming speech by VP HR, Datuk Kamaruzzaman Jusoh was really inspiring. Datuk Kamaruzzaman kata, kerja dengan TNB sebenarnya adalah satu peluang bagi kita berkhidmat untuk masyarakat sebenarnya kerana menyediakan keperluan asas kepada semua orang. Aku rasa rendah diri mendengar kata-kata tersebut. Pertama kali aku berjumpa beliau adalah semasa beliau bertugas sebagai pengarah YTN. Beliau pernah datang ke London, memberi taklimat dan menasihatkan para scholars agar menukarkan degree BEng kepada MEng. Aku sangat kagum melihat bagaimana beliau memulakan kerjayanya sebagai jurutera seperti kami dan kemudian berjaya memajukan diri sehingga dilantik sebagai VP, antara jawatan tertinggi dalam TNB.
 
Begitu juga sesi bersama SVP. Pengalaman kerja beliau lebih lama daripada usia kami. Dengan gayanya yang penuh berkeyakinan dan cerita yang menarik, aku telah digula-gulakan dengan sedikit harapan. Aku ingat lagi, semua penceramah yang datang memberikan harapan agar satu hari nanti, salah seorang daripada kami akan memegang jawatan mereka termasuklah CEO dan ianya tidak mustahil. Contohnya jelas di depan mata.
 
Aku juga telah dibasuh agar berbangga dengan TNB kerana ia telah berjaya meletakkan dirinya sebagai sebuah syarikat yang terhormat dengan pelbagai award, antaranya Anugerah Kualiti Perdana Menteri. Malah terlalu banyak keistimewaan yang ada dalam TNB tidak ada pada syarikat lain. Akhirnya aku dapati diriku menjadi sedikit jinak, malah menyemat azam dalam diri, suatu hari nanti aku akan menjadi seperti salah seorang daripada big guns itu.

Di dalam kursus tersebut, selain daripada mendengar ucapan daripada pegawai-pegawai atasan, kami diberikan pendedahan tentang syarikat dari segi operasi dan business, dan macam-macam lagi. Di hujung kursus, barulah ku tahu bahawa aku ditempatkan dalam bahagian Pembahagian (Distribution). Namun, dimana akan ditempatkan, kami tidak diberitahu. Tetapi Puan Razana mengatakan, sudah menjadi amalan di dalam TNB, new exacs tidak akan ditempatkan di negeri yang sama dengan alamat rumah mereka. Kami hanya akan tahu di mana kami akan ditempatkan setelah melaporkan diri di ibupejabat bahagian masing-masing. Aku berasa sedikit gusar, tetapi entah mengapa ada juga rasa tidak kisah.




Krisis kepimpinan

Sebenarnya, di permulaan kursus, kami dikehendaki melantik seorang penhulu, penghuluwati dan imam. Tugas penghulu adalah antaranya adalah menjaga kebajikan para peserta PEP dan juga menjadi contact person antara PEP dengan HR. Sewaktu pelantikan dibuat, kami diminta untuk menawarkan diri untuk bertanding. Seingat aku ada 5 orang (tak ingat bilangan yang tepat) yang menawarkan diri untuk menjadi penghulu. Aku tidak menawarkan diri kerana merasakan tidak mahu menonjolkan diri di samping merasakan mungkin ada orang yang lebih layak. Maklumlah di kolej dulu kalau nak jadi Pres kena jadi orang yang power. I think I’m not up to the standard.
 
Di akhir kursus orientasi, berlaku sedikit kejutan. Rombakan kepimpinan kumpulan PEP 33 telah dibuat. Sememangnya aku ingin melihat sedikit perubahan dalam kepimpinan ketika itu, tetapi tidak ku berani untuk menggalas tanggungjawab tersebut, malah aku lebih suka duduk di belakang melihat dari jauh sahaja.
 
Di dalam rombakan itu, aku telah dipilih sebagai penghulu yang baru. Mengepalai sekumpulan manusia sebesar itu (85 orang new exacs) merupakan satu pengalaman baru bagiku. Aku tak tahu macam mana nak handle. Seingat aku, paling tinggi pernah aku pegang adalah ketua kelas je. Kaget sungguh. Apapun, satu perkara yang aku belajar daripada Saravanan semasa dia menjadi penghulu adalah pentingnya seorang pemimpin itu untuk melihat jauh ke hadapan. Aku masih ingat dia tanya, apa yang boleh kita lakukan untuk menjadikan group kita lebih baik?


Bermulanya kerjaya seorang jurutera

Minggu kedua selepas melaporkan diri, aku dan rakan-rakan PEP yang ditempatkan dalam bahagian Pembahagian diarahkan terus ke ibu pejabat Pembahagian di Jalan Timur, PJ. Pagi Isnin itu, kami sempat menghadiri morning talk session bersama pegawai-pegawai HR Distribution di Jalan Timur. Kami telah diminta untuk memperkenalkan diri. Selepas itu kami mendengar ucapan daripada pegawai-pegawai di sana. Kebetulan pada hari itu, En Safwan diminta membuat ucapan sempena kenaikan pangkatnya. Ucapannya sangat bersahaja tetapi penuh dengan pengajaran. Beliau sempat berkongsi minatnya hiking, riadah katanya. Apapun kata-katanya yang memberikan kesan kepadaku hingga hari ini adalah ketika dia berkata sesuatu tentang visi, “dalam Islam doa itu boleh dilihat sebagai visi kita”. Benar katanya. Pada pandangan aku, kita hanya akan meminta apa yang kita idamkan. Apa pula doa aku setiap hari?
 
Selepas itu kami dibawa ke bilik mesyuarat untuk mendengar sedikit taklimat berkenaan penempatan kami. Kakak yang menguruskan kami ketika itu juga mengatakan kami akan dihantar ke tempat yang jauh dari ‘kampung’. Dalam pada itu, kakak itu juga sempat berseloroh, kalau ada master akan ditempatkan di KL. Aku sangat berharap kata-kata kakak itu benar. Akhirnya the moment of truth pun tiba. Masing-masing menanti dengan penuh debaran. Nama kami disebut satu persatu sambil dinyatakan di stesen manakah kami ditempatkan. Ada yang gembira. Tidak kurang ada juga yang kecewa. Apabila tiba giliranku, aku ditempatkan di Kuala Lumpur. Alhamdulillah. Rakan YTN yang seorang lagi (juga classmate –mathematics di KMYS dulu. Cuma aku tak begitu mengenalinya ketika itu.) pun ditempatkan di stesen yang sama denganku. Setelah semua menerima surat penempatan masing-masing, maka bertebaranlah kami ke stesen masing-masing.

bersambung...

Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com

Dari Camberley ke Kepong [pt. 1 of 3]


Intern

Terkenang daku akan pengalaman memohon latihan industri (internship) pada tahun ketiga pengajianku di UK dahulu. Aku memutuskan untuk tidak pulang ke Malaysia pada cuti musim panas tahun itu dengan tujuan untuk menimba pengalaman bekerja di luar negara. Oleh yang demikian, aku telah membuat permohonan kepada pelbagai syarikat kejuruteraan di UK untuk menjalani internship. Tiba bulan April-Mei, satu demi satu surat dan email daripada syarikat-syarikat yang aku mohon internship diterima. Semuanya menolak permohonanku. “Ada orang yang lebih berkelayakan,” kata BP. Aku amat berdukacita.
 
Memandangkan tiada internship, maka terpaksalah aku mencari kerja-kerja lain bagi mengisi masa lapang. Susah juga nak cari kerja yang sesuai, kadang-kadang rasa kecewa. Sementara itu, aku tolong Abang Wan tulis transcript. Dapatlah duit sikit, he he.

Sinar harapan mulai muncul apabila, permohonan kerja sebagai assistant di Information System department di UCL diterima. Pada masa yang sama Pak Ya (warden Malaysia Hall) meminta aku mengisi kekosongan sebagai receptionist di Malaysia Hall, London. Bagi menjaga hubungan baik dengan Pak Ya, maka aku pun bersetuju untuk bekerja dengan MSD dan membatalkan niat untuk bekerja di UCL meskipun gaji yang ditawarkan oleh UCL lebih tinggi daripada MSD.
 
Pada suatu hari, aku telah menerima missed call dari suatu nombor yang tidak diketahui. Nasib baik voice message ditinggalkan. Rupa-rupanya ia adalah panggilan daripada wakil syarikat Fluor, salah satu syarikat yang aku minta buat internship dahulu. Alangkah gembiranya aku mengetahui mereka telah menerima permohonanku dan aku boleh terus masuk kerja. Lagi gembira apabila memikirkan betapa aku tidak perlu melalui sebarang sesi ujian mahupun temuduga, hanya perlu mengisi borang dan menulis esei. Kawan-kawan lain yang minta intern di tempat lain sekurang-kurangnya kena interview. Alhamdulillah.
 
Setelah mendapat kepastian daripada pegawai di Fluor, aku pun meletakkan jawatan sebagai receptionist di Malaysia Hall. Internship berlangsung selama 7 minggu di pejabat Fluor yang terletak di Camberley, kira-kira 40 minit perjalanan keretapi dari Stesen Waterloo. Pengalaman bekerja di Fluor sangat menarik. Aku diberi peluang untuk terlibat dalam satu projek pembinaan loji pemprosesan minyak seluas 1 km persegi sebagai Associate Design Engineer II. Skalanya yang begitu besar hampir-hampir mencapai status ‘megastructure’. Aku diberikan tugasan dalam menguruskan data cable drum yang akan digunakan dan juga menyemak pelan-pelan cable duct.
 
Aku amat kagum dengan budaya kerja di situ. Kerja-kerja yang dibuat sangat tersusun. Teringat aku ketika tiba untuk melaporkan diri pada hari pertama di Camberley, semuanya telah siap tersusun dan tersedia. Setibanya di dalam bilik meeting, aku diberi briefing tentang latar belakang syarikat, polisi, keselamatan, penggunaan sistem computer dan sebagainya. Kemudian kami diberi ‘welcome pack’ yang mengandungi segala maklumat-maklumat yang penting seperti computer account, email account, cara-cara menggunakan telefon peribadi, keselamatan, etika kerja, sistem cuti dan sebagainya. Department, projek, cubicle untuk bekerja pun sudah tersedia. Budaya based on trust pula jelas dirasai. Tak perlu clock in, flexible hours pula tu, kerja siap juga. Dari segi disiplin pula memang bagus, apa-apa hal mesti ikut standard. Sepanjang bekerja di situ, aku rasa tiada gap diantara boss dan subordinate ataupun antara yang tua dan muda. Lagi satu, tak terasa macam orang asing pun. Budaya menghormati agama pun bagus. Semasa first day, tak tahu ade prayer room kat ofis, aku solat kat ruang kosong tepi cubicle je. Tak de sape marah, aku pula yang segan. Satu lagi perkara yang mengkagumkan ialah budaya menghargai ilmu sudah sebati dalam budaya kerja mereka. Dalam intranet, ada ensiklopedia sendiri dan para staff boleh bertanya kepada staff yang pakar dalam forum. Manakala dalam monthly meeting pula akan ada sharing session antara jurutera mengenai perkara-perkara menarik yang dipelajari dalam projek masing-masing. Vendor juga dijemput untuk menceritakan teknologi terkini dalam bidang yang berkaitan dengan business mereka. Perkara yang baik macam ni lah perlu dicontohi. Semoga satu hari aku dapat membawa budaya positif ni ke Malaysia.
 




Pada hari pada hari terakhir di Fluor, selepas solat Jumaat, Joanna memanggilku turun ke admin office kerana ada beberapa perkara yang perlu diuruskan sebelum aku pulang. Macam biasa, dapat surat dan dokumen-dokumen yang berkaitan. Dia juga memaklumkan kepadaku bahawa mereka berpuas hati dengan prestasiku dan bersetuju untuk memberikan ganjaran tambahan (ala-ala bonus) kepadaku sepertimana yang dijanjikan dalam iklan internship tempoh hari. Alhamdulillah.
 
Tiba-tiba Joanna berkata,” Azlan, we got an offer for you” seraya menyerahkan surat sampul surat berisi surat tawaran dan kontrak kerja. Aku terkesima mendengar kata-katanya. Aku langsung tidak menyangka mereka akan menawarkan kerja kepadaku. Lagipun tujuan asal aku buat intern adalah untuk menimba pengalaman je. Apalah sangat yang aku buat pun sepanjang intern tu, fikir ku. Dalam keadaan yang masih lagi terkejut, akupun membuka sampul surat yang diberi. Tertera di dalam surat tersebut, jawatan yang ditawarkan adalah Associate Design Engineer II dengan gaji 28 000 GBP per anum dengan syarat dapat 2.2 dan dapat visa International Graduate Scheme. Tinggi sungguh tawarannya itu. Syaratnya pula sangat mudah. Biasanya untuk engineer di luar London, dapat sekitar 26k je. Ada seorang engineer Fluor kata, dia dapat 24k je masa mula-mula dulu. Kemudian Joanna menyambung, “They like you.” Aku sangat terharu. Kalau boleh dia mahu aku sign kontrak tersebut waktu itu juga. Setelah berbincang, Joanna pun bersetuju untuk memberi penangguhan selama 2 minggu sebelum aku menjawab tawaran yang diberikan.
 
Berita gembira itu ku kongsikan bersama-sama keluargaku dan juga rakan-rakan di sekelilingku. Ex-housemateku pasti tersenyum mengenangkan gelagatku ketika itu. Setelah berbincang panjang lebar, aku telah menerima tawaran tersebut meskipun ketika itu aku tahu aku terikat dengan YTN. Maklumlah peluang yang sedemikian sukar ditemui. Aku berharap bila tiba masa nak kerja nanti, adalah jalan keluarnya nanti.
 

Setahun kemudian

Pada bulan Jun, tamatlah pengajianku di UCL. Tanpa sempat menguruskan penghantaran barang-barang ke Malaysia, aku pun pulang ke tanahair pada 22 Jun 2009. Aku pulang ke Malaysia lebih awal berbanding rakan-rakan yang lain kerana ingin mencari jalan keluar agar dapat kembali ke UK untuk bekerja di Camberley. bersambung...


p/s:
  1. Sebenarnya dah lama aku tulis, tapi asik terperap didalam draft sahaja kerana tidak sempat menghabiskannya. Sebelum ia basi, lebih baik aku kongsikan bahagian pertama yang sudah siap. Moga-moga menjadi pencetus semangat untuk menghabiskan cerita ini.
  2. Ilham untuk menulis tentang perkara ini lahir setelah aku tamat latihan fasa satu PEP. Ia bukan sekadar cerita tetapi ada sesuatu yang ingin aku kongsikan, tetapi mungkin hanya akan difahami di akhir cerita.
  3. Mula-mula agak segan dan takut untuk menulis dan bercerita tentang pengalaman ini, takut-takut jadi cerita angkat bakul sahaja. Tetapi sahabatku telah meyakinkan aku, kalau ada sesuatu yang baik didalamnya, teruskanlah bercerita. Moga-moga aku dijauhkan dari sikap riak dan takbur.


Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com