Monday, 1 February 2010

Minor delay

Sebelum berangkat, Amin sudah berkali-kali memeriksa senarai barang kelengkapan yang perlu dibawa. Dari peta, alat ganti, makanan, duit, tempat tinggal, senarai masjid dan sebagainya semuanya sudah dilengkapkan. Dia berasa begitu yakin dan tenang sekali kerana semuanya sudah tersedia. Dengan lafaz Bismillah, perjalanan dimulakan.

Amin baru sahaja melepasi checkpoint yang kedua terakhir sebelum tiba ke destinasinya. Hatinya begitu gembira kerana dia begitu hampir sekali dengan destinasinya itu. Menurut perkiraannya, tinggal 52 km sahaja lagi. Kalau mengikut kadar kayuhannya sebelum ini, dalam beberapa jam lagi sampailah dia. Bayangan makanan yang panas dan katil yang empuk sudah mula bermain difikirannya. Maklumlah, sudah sekian lama berkayuh...

Tiba-tiba, di tengah-tengah perjalanan itu, kelihatan kelibat beberapa orang pengawal menyekat jalan. Dengan perlahan dia pun menghampiri pengawal itu.

"Ada apa ni abang??

"Jambatan di hadapan ini rosak, adik. Pihak JKR tengah berusaha memperbaikinya. Inshallah dalam masa 3 hari siaplah. Eh adik ni dengan beg besar macam ni nak ke mana?"

"Saya sebenarnya sedang berbasikal secara solo dan sedang menuju ke Pulau Meranti. Ada jalan lain tak untuk saya ke sana?"

"Oh begitu, ada, tetapi ia memakan masa lebih lama, kalau dengan basikal, lebih daripada seminggu, malah ia sangat bahaya. Kalau adik tidak biasa, mungkin juga sesat. Lagipun dengan cuaca yang tidak menentu sekarang ini, agak bahaya. Jambatan di hadapan ini pun rosak akibat arus deras ekoran hujan lebat di hulu sungai semalam. Abang rasa ada baiknya adik tunggu sahaja. Kebetulan, Mak Cik Ani, sepupu saya menyediakan khidmat homestay. Tapi adik punya pasal, saya akan mintak dia kasi free saja."

"Err...Hmmm, susah juga ni.... Nampaknya tiada pilihan lain, ok lah, saya tunggu, boleh Abang tunjukkan di mana rumah Mak Cik Ani?"

"Sudah tentu"

Di rumah Mak Cik Ani.

Sesudah selesai mandi, dia pun duduk berehat menikmati keindahan alam sambil merenung semula perjalanannya sehingga ke saat ini. Pada mulanya dia begitu yakin bahawa segala perancangan yang dirangka dahulu pasti berjaya. Dia sangat yakin bahawa dia dapat memecahkan rekod sekolahnya berbasikal secara solo dari kampungnya ke Pulau Meranti itu. Tetapi kini harapannya tidak kesampaian. Siapa sangka, jambatan kukuh itu pun boleh rosak.

Tiba-tiba, dia teringat kata-kata Kak Umi, "biarpun kamu sudah sampai ke tahap ini, kamu tidak harus selesa selagi mana kamu belum sampai ke destinasi kamu. Kita tak tahu apa yang menanti di hadapan. Manusia hanya merancang, tetapi Allah jualah yang menentukan. Banyak-banyak berdoa agar kamu selamat tiba ke Pulau Meranti"

Barulah sekarang Amin faham akan maksud Kak Umi. Dia pasrah. Senaskah Al-Quran dengan terjemahan yang dibawa dikeluarkan dari begnya untuk dibaca sebagai penghibur hati. Dengan penuh harapan, dia menanti agar dapat menghabiskan juga perjalanannya itu seperti yang dirancang, biarpun lewat sedikit...

Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com

No comments: