Monday, 23 November 2009

Lovely weekend

Menyingkap kembali peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam hari-hari di hujung minggu ini, rupa-rupanya banyak sekali perkara yang indah dan menarik yang ku lalui di sebalik tekanan-tekanan yang datang. Alhamdulillah.

Petang Jumaat lepas, hari terasa begitu tertekan dek bebanan kerja yang terlalu berat. Sejurus selepas tamat kerja di pejabat, aku terus menelefon saudara Joe, yang kebetulan telah mengajakku bertemunya di Park Seven. Aku sengaja megambil peluang pada malam itu untuk bertemunya memandangkan sudah lama aku tidak bertemunya. Apatah lagi sewaktu di pejabat petang itu aku amat tertekan, maka bertemu dengan teman lama ini mungkin dapat membantu aku melupakan hal kerja buat seketika dan meringankan tekanan itu sambil update tentang cerita masing-masing.

Sejurus tiba di Park Seven, Joe mengajakku untuk bertemu dengan saudara Has. Tanpa berfikir panjang, aku terus bersetuju dengan cadangannya. Bagi aku ini satu bonus, bukan calang-calang orang dapat bertemu dengan orang yang bertaraf selebriti secara eksklusif ni, hu hu. Sebenarnya pertemuan kami pada malam itu adalah sempena melawat rakan Londonnya yang baru keluar ICU. Alhamdulillah we had a great time together. Mendengar celoteh mereka sangat menghiburkan, tetapi bukan borak kosong, borak-borak malam itu penuh dengan cerita dari pengalaman mereka yang sangat berharga. Kami habis bersembang agak lewat malam, sukar juga nak berhenti walaupun sudah beberapa kali saudara Has menyatakan hasratnya untuk berdedar. Maklumlah jumpa sahabat lama...

Pada malam itu, aku mengambil keputusan untuk tidur di Park Seven sahaja. Rupa-rupanya WMF pun ada di situ, seronok juga bertemu dengan seorang lagi rakan yang lama tak jumpa. Selepas mengucapkan salam dan bersembang sepatah dua, aku pun masuk tidur, letih sangat...

Hari Sabtu pula, selepas subuh aku terus memecut ke Puchong kerana perlu pergi ke PWTC pada pukul 9 pagi untuk mewakili KJ ke majlis pelancaran karnival tenaga cekap.

Di PWTC, aku tiba agak awal. Tidak ramai orang, terasa bosan juga. Maka aku pun membuka telefon bimbitku. Sewaktu duduk-duduk sambil membaca Al-Quran digital di dalam phoneku, aku ditegur oleh seorang lelaki yang dipertengahan usia yang duduk disebelahku. Dia kagum melihat software tersebut, kerana selama ini dia hanya mendengar mp3 sahaja. Maka aku pun memberikan satu copy software quran tersebut menerusi bluetooth. Rupa-rupanya beliau, encik Zul, merupakan seorang usahawan. Katanya dia merupakan seorang arkitek, lulusan City of Leicester Polytechnic. Bukan itu sahaja, sebelum itu dia telah megang ijazah dalam bidang muzik. Kini beliau memiliki syarikat sendiri. Beliau juga merupakan ketua bagi sebuah badan NGO. Tidak sangka, dengan perbuatan yang 'simple' itu sahaja mampu membawa aku berkenalan dengan seseorang yang hebat. Allahu Akabar. Satu pengalaman yang ringkas dan singkat yet inspiring.

Tengah harinya aku memandu ke Subang, untuk pergi ke kenduri Kak Azila. Aku tiba agak awal, tak sempat bertemu dengan beliau, kerana aku perlu balik cepat, terlalu letih kerana tidur lewat malam Jumat tadi. Betapa letihnya aku sewaktu pulang dari kenduri Kak Azila, aku tersalah ambil simpang ke Klang, maka aku terpaksa keluar di Setia Alam. Singgah sebentar di hentian sebelah untuk solat Zohor, tapi terpaksa tidur dahulu sebelum solat kerana mengantuk yang teramat.

Setibanya di rumah, terus mencari katil. Letih tidak hilang lagi. Sewaktu sedang tidur, tiba-tiba dapat panggilan telefon tentang kerja, diminta telefon orang untuk confirm pasal arrangement kerja malam sabtu itu. Aku terus tertekan. Akibat keletihan yang teramat, aku terus off telefon kerana tidak mahu dinganggu buat seketika. Tetamu yang datang ke rumahpun, aku tak layan sangat, hanya bangun untuk bersalaman dan bertegur sapa buat seketika, kemudian kembali masuk tidur.

Lebih kurang pukul 5, aku pun bangun untuk solat dan melaksanakan amanat kerja yang disampaikan sewaktu aku berbaring sebelum itu. Alhamdulillah semuanya lancar. Di sebelah malam pula, aku ditelefon sekali lagi, meminta aku turun ke site, tetapi aku tidak pergi kerana merasakan semuanya in order. Walaubagaimanapun, mood aku kembali terjejas. Terus masuk tidur bagi menenangkan jiwa.

Pagi ahad, kerja-kerja selesai, dan report telah diterima daripada technican aku. Hati tenang kerana misi selesai. Pagi itu kurang produktif kerana sambung tidur balik, terlalu letih. Emak kata, mungkin kerana kurang tidur.

Petang ahad, tiba-tiba dapat panggilan telefon, katanya kerja malam tadi tidak sempurna. Kena buat balik. Arghh, kenapa jadi begini? Rupa-rupanya berpunca daripada kesilapan buat jobsheet pada petang Jumaat yang penuh tekanan itu. Inilah dinamakan faktor psikososial. Bila tertekan, penilaian pun jadi tak tepat.

Maka kena sembur, biarpun bukan 100% salah aku. Maka dapatlah aku faham kenapa orang selalu pesan, jangan biarkan diri menjadi kambing hitam. Mereka kata, bila ada masalah, pasti seseorang akan dikambing hitamkan, yang paling berpotensi adalah orang yang berada di hierarchy paling bawah.

Oleh itu, aku terpaksa ke pejabat untuk urus re-do job malam tadi pada malam ini. Mula-mula memang tak puas hati dan tertekan. Cuma sambil memandu, sedar pula, kenapa perlu tertekan, kembalikan segalanya kepada Allah. Alhamdulillah setelah berusaha, akhirnya semua orang yang terlibat kata boleh buat kerja malam ini. Allahu Akbar, leganya hati.

Setelah selesai arrange job di Kepong, aku ke Gombak ke rumah Mak Long untuk berehat sebentar sebelum ke Sungai Pusu pada pukul 10 mlm untuk supervise job yang aku arrange di Kepong tadi. Alhamdulillah, seronok jugak berehat di rumah Mak Long. Sempat bersembang-sembang dengan sepupu-sepuku dan juga tetamu mereka. Sekali lagi dapat melupakan kerja buat seketika.

Tak sangka, tekanan yang kurasakan sebelum submit report final year project dulu pun tak cukup hebat berbanding apa yang kurasakan kini. Malah tekanan itu lebih kerap.

Ya Allah, berikanlah kekuatan kepadaku dan berkatilah usahaku ini. Subhanallah, biarpun banyak ujian yang Kau berikan, banyak lagi nikmat yang Engkau kurniakan di celah-celahnya. Sungguh, aku tidak patut merungut.

Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com

Thursday, 19 November 2009

Fikiran negatif

Kekadang aku terfikir, apalah gunanya susah-susah mengumpul A dalam peperiksaan di zaman persekolahan dahulu?

Apa faedahnya atau gunanya dalam alam pekerjaan ni? Kerja susah sama je macam orang lain...

Hu hu...

Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com

Punca tekanan

Kerjaku agak simple je. Scan, diagnose and repair. Kata orang as easy as a,b,c atau 1,2,3.

Cuma disebalik itu sebenarnya terletak epectation yang sangat tinggi dari pelbagai pihak terutamanya pihak atasan. Apatah lagi apabila berlaku kes flashover di Taiping baru-baru ini.

Aku pun cuak juga sebenarnya, apabila ada kejanggalan yang serius. Lebih-lebih lagi kejanggalan yang menjadi semakin parah pada kadar yang segera. Harap-harap sempat lah aku repair sebelum berlaku flashover. Arghh... cuak-cuak. Kalau boleh nak aje selesaikan semuanya dengan sekelip mata, tapi itu mustahil.

Ya Allah, selamatkanlah kami!

Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com

Sunday, 8 November 2009

Rindu Kasih

Membaca buku Nota Hati Seorang Lelaki yang beberapa kali aku lihat disarankan oleh rakan-rakanku membuatkan aku teringat akan suatu perbualan...

"Dah dua tua tahun aku tak dengaq habaq cucu aku ni. Waktu raya, sekali pun tak talipon aku. Kalau ayah dia, dari dulu sampai la ni, paling kurang hantaq kad raya."

Ulasannya ringkas sahaja, tetapi penuh makna. Sedikit sebanyak aku pun terasa. Hati seorang tua mana yang tak sayang anak cucunya. Bila berjauhan, pasti terasa rindu. Apatah lagi ketika kecil-kecil sering bermanja dan dimanjakan.

Tapi bila dah besar, macam lupa akan kewujudan mereka. Macam mana tak terasa hati orang tua itu.

Patutlah emak dan ayah sering berpesan kepadaku agar jangan lupa telefon kampung, tanya khabar tok dan wan. Rupa-rupanya bila sudah tua, kesunyian dan sangat rindu akan anak cucunya.

Semoga kita tidak mengabaikan mereka.

Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com

Monday, 26 October 2009

Rendahkanlah dirimu

Nampaknya kekerapan aku blogging semakin menurun. Disamping kurangnya idea, banyak juga faktor-faktor lain yang mengekang daripada aku menulis. Salah satunya aku tidur awal sekarang, supaya dapat bangun awal dan seterusnya keluar ke pejabat awal. Dah serik masuk lewat sejak ada electronic swipe card dan audit oleh GIA, hu hu.

Aku perasan sejak akhir-akhir ni, blog ni dah jadi macam pusat kaunseling pula. Macam-macam orang tanya. Macam mana program PEP? Macam mana nak berbaik dengan orang yang lebih tua dan sebagainya. Well aku bukan la pakar sangat, tapi kalau orang dah tanya, cube je lah kan, he he.

Ok, kali ini terasa nak mejawab soalan encik Anon yang bekerja di Pet tentang bagaimana nak berbaik dengan staff yang lebih tua dari kita. Well ada macam-macam cara dan pendekatan sebenarnya. Boleh guna taktik bersih atau kotor, tepuk dada tanya iman, hehe.

Walaubagaimanapun saya percaya Cik Anon (kalau lelaki pun orang kita dengar orang sebut cik juga kan?) mencari pendekatan yang baik/bersih. Bagi aku mudah saja, semua kita, tak kira tua atau muda, berpangkat tinggi atau orang bawahan, semua sama sahaja, yakni kita adalah manusia. Manusia punya hati juga akal.

Kita harus faham bagai mana pengaruh hati dan akal kepada pemikiran dan juga sikap mereka. Kalau sakit perut, semua ke tandas juga, kalau sakit hati semua marah juga, kalau senang hati semua gembira dan kalau perut terasa senang, hati jadi senang juga.

So pada pandangan aku, kalau kita nak bagi orang rasa senang dengan kita mudah sahaja, ikut sahaja kehendak mereka. Tapi itu bukan yang kita mahu, betul? Orang yang macam tu adalah orang yang tak berprinsip. So bagaimana memenangi hati orang sementara masih lagi berpegang kepada prinsip? Terasa macam politician pula bila bercakap tentang winning the heart of people ni, hu hu.

Sebenarnya tiada formula khusus, tetapi orang-orang berpengalaman selalu berpesan, kita kena sentiasa merendahkan diri. Bila berbicara jangan berbicara dengan bahasa authoritative, sebaliknya gunakan bahasa yang lembut. Dalam masa yang sama, kena tunjukkan contoh dan akhlak yang baik, barulah datang rasa hormat, bak kata skrip Cinta sempurna, "Respect has to be earned" Semua itu memerlukan kesabaran. Selain daripada itu, janganlah tunjukkan rasa 'takut' kepada mereka, sebaliknya sentiasa pamerkan keyakinan dan berikan pandangan penuh rasa kasih kepada mereka, kerana kalau tunjuk 'takut', nanti mudah bagi mereka memandang rendah kepada kita pula.

Apapun contoh yang terbaik, ikutilah sunnah Rasulullah, Baginda kan Uswatun Hasanah. Kalau rajin, bacalah buku The Prophet's Methods Of Correcting People's Mistakes. Inshallah berguna.

Setakat ini dahulu coleteh aku yang tak seberapa ni, kalau salah dan silap harap dibetulkan.



Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com

Saturday, 17 October 2009

BerUSRAH di tempat kerja

Sukar sekali untuk mencuri hati manusia. Tanpa jalinan hati yang akrab antara manusia, begitu sukar sekali untuk berurusan sesama sendiri. Tanpanya, masalah perselisihan faham, sakit hati, tak dengar kata dan sebagainya sangat mudah terjadi.

Ia perlukan kesabaran dan masa. Sebelum tercapainya tahap saling mempercayai dan memahami, pelbagai ujian perlu ditempuhi.

Alhamdulillah, setelah hampir 4 bulan aku menggalas amanah sebagai Jurutera CBM, barulah kini terasa bibit-bibit kejayaan memenangi hati anak-anak buahku. Syukur, majlis jamuan hari raya yang dianjurkan sedikit sebanyak memudahkan aku untuk menghampiri dan bermesra dengan mereka. Pagi semalam juga, sempat bersarapan sekali. Sempat juga bersembang dan mengenali peribadi mereka dengan lebih dekat. Paling memuaskan adalah mesyuarat petang semalam, alhamdulillah nampaknya masing-masing dapat memahami dan menerima arahan yang diberikan. Sebahagian daripada mereka juga kelihatan proaktif dalam perbincangan. Suasana yang begitu santai dan mesra menjadikan mesyuarat selama sejam lebih itu terasa sekejap sahaja. Alhamdulillah.

Aku gembira sekali kerana teknik menjalinkan hubungan yang digunakan dalam usrah nampaknya begitu berguna sekali dalam dunia kerjaya. Taaruf, Tafahum, dan Takaful.

Taaruf, berkenal-kenalan. Kalau nak mengenali seseorang, kenalah memperuntukkan masa yang lebih. Kita kena tahu latar belakang mereka, perkara yang mereka suka dan tidak suka. Kata naqib aku, kena kenal sampai tahap dengar bunyi tapak kaki pun dah tahu siapa orangnya. Mungkin aku tak sampai tahap itu lagi. Nampaknya perlu berusaha lebih lagi ni.

Tafahum, bersefahaman. Tugas ini lebih sukar. Kadangkala, lain yang dikata, lain pula yang disangka. Sebagai bos, kena banyak bersabar. Tak boleh ingat diri paling hebat, sebaliknya perlu rendah diri, baru mudah untuk mendidik dan membentuk anak buah.

Takaful, saling membantu. Saling membantu atas rasa kasih sayang dan prihatin. Janganlah menyombong sangat, tak mahu tolong buat kerja remeh-temeh kerana merasakan diri tidak layak atau tidak sepatutnya buat kerja tersebut. Sebenarnya dengan sikap tolong-menolong itu, boleh menjadi senjata yang ampuh utuk menyentuh hati manusia. Lihat sahaja bagaimana pemimpin Al-Arqam (ajaran dan gerakan ini telah diharamkan) berjaya memenangi hati pengikutnya.

Itu teori, praktikalnya, rajin-rajinlah duduk sekali, bersembang. Bertanyakan masalah, perkembangan dan cerita-cerita sampingan yang dirasakan sesuai, faham dan bercakap dalam bahasa mereka. Makan sekali pun penting, bukan budak uni je yang suke makan free, dah kerja pun sama. So rajin-rajinlah belanja makan. Aku rasa dua perkara itulah yang paling penting. Yang lain tu, pandai-pandailah. Contohnya bersikap tegas atau lembut pada tempatnya.

Pengajarannya, jangan segan-segan join usrah dik oi... Kalau orang suruh jadi naqib pula, jangan lah segan-segan, ana manafaatnya. Sapa kata usrah tak best? Kalau tak best sebenarnya korang yang tak best, bukan usrah itu yang tak best. He he. Oi kawan-kawan, bile lagi nak berusrah ni???


wallahua'lam



Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com

Thursday, 15 October 2009

Dari Camberley ke Kepong [pt 3.1]

Hmm. Memandangkan agak kurang feasible bagi aku untuk mengarang cerita yang panjang-panjang, ada baiknya aku menulis cerita 'Dari Camberley ke Kepong'ku ini dalam bentuk mini series sahaja. Kelancaran cerita mungkin sedikit terganggu, tetapi lebih baik daripada tiada. Selamat membaca.


Dunia baru

Aku telah ditempatkan di Pejabat Pengurus Besar Kuala Lumpur, di bawah Timbalan Ketua Jurutera Senggaraaan dan Perlindungan. Tugas unit ini adalah menjalankan kerja-kerja senggaraan alat-alat pembahagian elektrik pada tahap 33 kV di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Ketibaan di pejabat Pengurus Besar Kuala Lumpur pada waktu itu agak istimewa, aku kira, kerana kebetulan pada hari tersebut ada jamuan. Maka dapatlah aku turut serta dalam masjlis makan-makan itu. Dalam jamuan tersebut aku sempat bertemu dengan Puan GM, KJ dan juga En zubir.

Dalam tempoh latihan selama enam bulan pertama ini, aku diletakkan di dalam Unit Protection. Walaubagaimanapun, HR telah menetapkan bahawa kami akan rotate dari satu bahagian ke bahagian yang lain bagi mendapatkan pendedahan yang meneyeluruh. Unit yang pertama sekali aku masuk adalah Unit Protection. Mula-mula memang sangat blur. Banyak perkara yang asing, tidak difahami dan tak tahu nak buat apa. Dalam masa yang sama, aku terasa sangat teruja melihat macam-macam benda baru. Terus, aku menjadi bersemangat untuk cuba memahami fungsi setiap satu alat dan sistem yang ditemui. Rakan PEP seorang lagi yang ditempatkan ke KL bersama aku sangat suka bertanya dan berani bertanya. Banyak yang aku pelajari daripada sikapnya yang rajin bertanya itu.


Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com

Wednesday, 14 October 2009

Kesepian

Kasihan blog ini, semacam mati sahaja, tidak ada banyak updates sejak akhir-akhir ini. Maaf kawan-kawan, macam sibuk sikit. Maklumlah raya, macam-macam ada.

Teringin juga update siri camberly ke kepong, tapi masih lagi belum berpeluang. Doakanlah moga ada kelapangan.



Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com

Friday, 9 October 2009

Lumrah kehidupan

"Bagaimana dengan pekerjaan kamu?"

"Ianya terlalu sukar, terlalu sukar..."

"Macam tulah kerja, bukankah ianya sepatutnya begitu?"

Begitulah lebih kurang isi perbualan ringkas aku dengan Prof Richard Jackman, personal tutor aku ketika tahun ke dua di UCL. Aku terasa macam terkejut seketika apabila mendengar jawapannya. Tapi memang betul katanya, akhirnya aku terpaksa menerima dan menelan hakikat itu biapun ianya pahit.

Ya kalau tak susah, tak mencabar lah. Nanti merungut bosan pula.

Kehidupan bekerja setelah mendapat tugasan yang khusus ini memang mencabar. Aku rasa antara yang paling mencabar di sebalik workload dan nature of work adalah masalah mengurus semangat dan perasaan. Perasaan gembira bekerja dan bersemangat untuk menyumbang begitu sukar dipupuk, malah lebih mudah luntur.

Kadang-kadang aku cuba memperingatkan diri bahawa niat bekerja ini hendaklah dibersihkan, biarlah ia semata-mata untuk Allah. Maka apa yang berlaku sepatutnya aku terima dengan hati yang redha.

Teringat cerita tukang rumah oleh ustaz Hasrizal, ada yang mengecat sambil meyumpah-nyumpah, dan ada pula yang menyanyi kegembiraan. Yang menyumpah itu buat kerja kerana terpaksa dan yang seorang lagi itu gembira kerana dia tahu dia bekerja untuk memberi. Maka aku pun cuba mempraktikkannya, ada juga perubahannya. Sedikit sebanyak hatiku menjadi lebih senang. Cuma ia tidak dapat bertahan lama, rasa kurang puas bekerja itu selalu kembali menghantui diri.

Perasaan itu semakin menjadi-jadi apabila bertemu dan bersembang dengan orang yang juga hampir sama kedudukannya dengan aku. Frust... Terasa seperti kurang belajar. Sentiasa membuat perkara yang sama. Atau mungkin juga kerana terasa seperti sangat jauh daripada jalan untuk mencapai cita-cita yang besar itu. Lebih sakit hati bila memikirkan macam-macam kekurangan dan masalah lain.

Rasanya itulah dia cabaran untuk mengamalkan ilmu. Untuk belajar dan bercakap pasal teori lebih mudah dari walk the talk. Hu hu.

Pagi ini, aku mendapat berita yang kurang menyenangkan. KPI dan juga kompetensi, ramai yang kena slash, semata-mata untuk mengikut kuota. Biarpun ramai yang kecewa, aku sangat kagum dengan sikap yang ditunjukkan oleh rakan-rakan jurutera yang lebih senior. Mereka kata, "Tak mengapa, walaupun kita terasa hati, tugas tetap perlu dilaksanakan. Kita usaha lebih gigih lagi untuk tahun depan. Rezeki masing-masing sudah sudah ditetapkan, kalau tak dapat kali ini, mungkin kita akan dapat di masa yang lain." Masya-Allah, tinggi sungguh sifat sabarnya , juga optimis dalam kehidupan.

Merenung kembali, sebenarnya aku berada dalam keadaan yang sangat beruntung. Ada kerja, dapat gaji. Sahabatku mengajak aku berfikir, bagaimana dengan orang yang lain yang diuji dengan pengangguran dan kesempitan wang? Benar sekali katanya. Susah-susah aku pun, tak sesusah seorang lagi colleague aku tu. Maka inilah masanya untuk belajar bersyukur, redha dan bersabar...

p/s: Ni lah kot perangai orang yang tak pernah hidup susah. Kalau generasi bapa kita, yang membesar di tengah-tengah kemiskinan, tak pernah jemu, mahupun merungut... Ish,ish... Apa nak jadi ni...

Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com

Thursday, 8 October 2009

semangat yang kian luntur

Entah mengapa, walau sudah berkali-kali berasa seperti berjaya memulihkan semangat, akhirnya aku kembali menjadi lemah semangat untuk bekerja. Asik merungut sahaja. Ada sahaja nak di komplen.

Nak tulis blog pula tak semangat sebab tak larat.

p/s: inilah dia alasan di atas jarangnya aku update blog kot. Ha ha.


Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com

Tuesday, 6 October 2009

Phd

"Tak nak sambung Phd ke?"

"Sambunglah, buatlah Phd"

"Bila nak buat Phd?"

"Semoga suatu hari nanti dapat buat Phd"
Dari semasa ke semasa, pasti ada yang akan bertanya soal melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi. Ya, siapa tak mahu buat Phd, kalau ada peluang? Kalau ada peluang aku pun teringin nak buat.

Tetapi buat masa ini, aku ingin mencari sedikit pengalaman dan juga meneroka bidang yang dirasakan perlu dan sesuai untuk aku kaji terlebih dahulu.

Ketika di London bulan lepas, ramai juga yang bertanya akan hal ini. Malah ramai juga yang menggalakkan. Tak kurang juga yang mendoakan. Semoga doa mereka dikabulkan Allah.

Melihat keadaan aku sekarang ini mungkin agak sukar, paling kurang 3 tahun baru boleh sambung. Sekarang ni kena jadi buruh syarikat dulu. Di perah sehabis-habisnya dulu, mungkin.

Apapun, semoga suatu hari nanti dapatlah aku mengikut jejak rakan-rakan yang lain spt Dr Rafiq dan juga Dr in the making Bro Joe. Pak Cik, hang kata nak buat kan, hang buat la cepat-cepat. Tak payah duduk kat Intel Penang tu lama-lama. Kalau hang dah sambung, sound laa.

Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com