Wednesday, 12 March 2008

seorang ibu

Petang tadi aku terpaksa keluar ke kedai dobi untuk membasuh baju kerana mesin basuh di rumah tak dapat digunakan akibat sistem paip utama rosak. Ketika menunggu baju dikeringkan aku sempat berbual-bual dengan mak cik yang bertugas menjaga kedai tersebut. Dia banyak memberi nasihat kepadaku. Jaga diri baik-baik, jangan libatkan diri dalam benda-benda tak senonoh, buat keja elok-elok dan jangan minum arak. Dia juga bertanya tentang ibu bapa dan keluargaku di Malaysia. Dia berkata," They must miss you" dan juga "But when you go back, you will have a degree. They must be proud with you. When you go back, they will make a party to celebrate.. eh?". Apabila aku bercerita tentang aku adalah abang yang sulung dia berkata "You must support them, aaa?" (merujuk kepada adik-adik ku).

Walaupun nasihat yang diberikan oleh mak cik itu ringkas, ia amat berguna dan sedikit sebanyak menyentuh jiwaku. Sifat dan gaya keibuan mak cik itu yang jelas terserlah ketika kami berbual membuatkan aku sedikit sebanyak merindui ibuku dan keluargaku. Betapa sebenarnya telah lama aku tidak merasa kemanisan bertemu dengan orang tuaku kerana tinggal di perantauan.

Sudah lama aku tidak mendengar kata-kata seperti itu. Biasanya bila balik kampung, ahli keluargaku tak kira tok, wan, pak cik, mak cik atau pun sesiapa sahaja tak akan jemu memberi peringatan dan nasihat tentang kehidupan dan tanggungjawab sebagai seorang anak.

Menarik sungguh pengalaman hari ini. Pengajaran dan petunjuk boleh dicari di mana-mana sahaja. Tak kira siapa. Terpulang kepada kita samada untuk menerimanya atau sebaliknya.

No comments: