Thursday, 14 August 2008

makhluk bebas

Manusia adalah makhluk yang paling mulia yang diciptakan Allah. Itu ayat yang aku belajar masa zaman sekolah menengah dulu. Kalau tak silap antara sebabnya adalah termasuk proses kejadian manusia itu sendiri, dilantik menjadi khalifah juga diberi akal dan nafsu. Berbeza sekali dengan mahluk-makhluk Allah yang lain, di mana mereka hanya diberikan salah satu sahaja.

Sewaktu tahun pertama dahulu, di Cardiff, Sheikh Abdul Aziz pernah kata Allah telah berikan manusia kebebasan untuk memilih. Bagi aku itu antara nikmat yang besar sekali yang Allah telah beri kepada kita. Kita diberi kebebasan oleh Allah untuk membuat kebaikan mahupun kejahatan. Atau tidak berbuat apa-apa ketika melihat kekejaman. Semuanya boleh belaka.

Tetapi kita seringkali lupa akan hakikat kebebasan itu. Ia sebenarnya adalah satu ujian. Ujian untuk melihat siapakah di antaranya yang bersikap benar dan tunduk kepada-Nya. Allah tidak memberi kebebasan ini dengan percuma. Bak kata orang putih, everything has price to pay. Harganya adalah tanggungjawab. Tanggungjawab memilih dan membuat keputusan ini bukan suateu perkara yang remeh. KIta bertanggungjawab bukan sahaja kepada makhluk, tetapi kepada Tuhan yang Menciptakan kita.

Dalam bahasa Melayu tanggungjawab itu ada dua unsur penting. Pertama tanggung, umpama menanggung beban di atas bahu. Maknanya semua benda yang kita buat, perlu dipikul oleh kita untuk diambil kira di akhirat kelak. Kemudian kita kena jawab. Jawab kepada Allah tentang segala tindakan yang telah kita ambil.

Bagi kita umat Islam yang percaya akan hari pembalasan, ingatlah bahawa setiap perkara jahat yang kita buat balasannya neraka, dan perkara baik yang kita buat adalah syurga. Oleh itu, marilah kita bertaubat kepada Allah atas segala salah dan silap yang pernah kita lakukan. Berazamlah untuk tidak mengulanginya lagi. Allah amat suka hambanya yang kembali setelah melakukan dosa.

wallahua'lam.

No comments: