Suatu ketika dahulu, tiada apa yang mampu menghalang. Lautan yang luas direntasi jua walapun terpaksa mengharung ombak berjam-jam hingga pening-pening asalkan tiba ke destinasi. Andai terlalu jauh, karpet terbang pula menjadi penyelamat. Kalau sekadar menaiki kereta sewa atau bas itu sudah biasa. Perjalanan melebihi 10 jam langsung tidak terasa.
Itulah hikmat zaman serba kurang. Difikirkan kosnya, biasanya rugi sahaja. Bukan melancong, tetapi semata-mata untuk bercakap atau mendengar orang bercakap. Boleh jadi sejam, sehari atau seminggu. Rungutan mahupun sungutan langsung tidak kedengaran. Malah adakalanya selepas ke suatu tempat, berkelana pula ke tempat lain yang tidak kurang jauhnya. Orang lain mungkin fikir ini kerja gila!
Tetapi itulah dia semangat anak muda kita. Berkobar-kobar jiwanya mahu berbakti. Kalau di tempat sendiri, setiap minggu mesti berhimpun. Sekurang-kurangnya untuk saling ingat-mengingati akan tujuan hidup ini.
Kemudian, anak muda yang sama itulah kembali ke ganggangnya. Di sana, kehidupannya diulit kemewahan dan 'kebebasan'. Tiada lagi yang akan mengawasinya. Dia bebas ke mana-mana, menimbulkan diri atau bersembunyi di sebalik hutan batu di kota.
Azam yang dipasangnya dahulu masih lagi terngiang-ngian di telinganya. Konon mahu mengabdi diri di jalan agama-Nya. Biarpun begitu, setelah terkena sumpahan 'tanggungjawab' dan 'kesuntukan masa' dia terus jadi leka dan alpa.
"Ah kau bukan tak tahu... Asal hujung minggu sahaja aku mesti ada kerja. Sibuklah. Lagipun aku letih. Bagilah aku sedikit masa untuk berehat."
"Alamak ada benda nak buat ke? Tak boleh la, aku kena buat benda lain ni"
"Maaf, saya busy"
Lama-kelamaan, ayat-ayat itu kian ringan di mulutnya. Tiada lagi rasa bersalah mengungkapkan alasan-alasan sebegitu. Nah, dia sudah lupa, dia sudah tidak peduli sama itu 'perjuangan'. Apa yang dia tahu, dia mesti berjuang untuk hidup sahaja.
Dia hanya tahu memberi alasan, bukan penyelesaian. Itulah yang dia tahu, segala ilmu yang ditimba dahulu tidak berguna lagi...
p/s: Terasa insaf seketika setelah mendengar sebahagian daripada Kuliah Maghrib di sebuah masjid berkenaan peranan muslim dalam memperjuangkan agama-Nya di akhir zaman ini ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, Allah...