Apabila timbulnya isu kenaikan harga minyak, pelbagai reaksi yang kita terima. Rata-rata para pengguna mengeluh kerana kos sara hidup semakin meningkat hingga menjadikan kehidupan sehari-hari semakin sempit. Ini dapat dilihat dengan berlakunya penurunan jumlah kenderaan di jalan raya. Ada pihak yang mengambil langkah bijak dengan berkongsi kenderaan ke tempat kerja.
Di dalam menangani masalah sedunia ini, pelabagai cara yang digunakan. Ada yang menuntut kerajaan terus mengekalkan subsidi atau memberi bantuan yang sewajarnya terutama kepada golongan miskin. Masalah dengan subsidi adalah, ia menelan belanja yang sangat tinggi. Menurut majalah Economist, Malaysia merupakan negara yang paling banyak sekali beri subsidi di dunia iaitu lebih kurang 7% daripada GDP Negara. Oleh yang demikian, dari sudut ekonomi, amat sukar sekali untuk negara mengelakkan daripada menarik balik subsidi. Namun perkara ini harus ditangani dengan sebaik mungkin demi memastikan kesejahteraan orang ramai. Pengumuman kenaikan harga (penarikan subsidi) yang mengejut tanpa amaran awal bukanlah satu langkah yang bijak.
Dalam pembacaan saya, ada juga pihak samada kerajaan atau pembangkang mengusulkan supaya orang ramai menggunakan basikal. Ini merupakan satu seruan yang baik kerana ia merupakan satu cara yang mampu kita lakukan malah memberi nilai tambah kepada penunggang basikal dari segi kesihatan dan kekuatan tubuh badan. Contoh yang jelas boleh di lihat di banyak negara maju di Eropah dan juga di negara China. Ketika di London, saya pernah bertemu dengan beberapa orang yang sanggup berbasikal dari rumah ke tempat kerja selama sejam. Perjalanan yang jauh dan lama langsung tidak menghalang mereka berbuat demikian. Antara kebaikan menaiki basikal lagi adalah, ia merupakan satu jenis pengakutan yang agak cepat dan boleh digunakan di tempat-tempat yang tidak boleh dilalui oleh kenderaan berenjin seperti di lorong pejalan kaki.
Saya rasa masalah yang lebih merisaukan para pengguna basikal adalah keselamatan mereka sendiri. Sikap pemandu kereta, lori dan pembonceng motosikal yang tidak menghormati pengguna jalan raya lain dengan memandu secara merbahaya amat menakutkan pengguna basikal. Kebarangkalian dilanggar amat tinggi. Saya percaya ada ramai ibubapa yang tidak membenarkan anak-anak mereka menunggang motosikal apatah lagi berbasikal di jalan raya kerana mereka tidak percaya anak mereka akan selamat.
Selain itu kemudahan untuk berbasikal seperti lorong basikal dan tempat letak basikal yang selamat tidak banyak atau tidak ada di Malaysia. Ini sudah pasti menyukarkan para pengguna. Tahap jenayah curi yang tinggi juga tidak akan membantu menggalakkan orang berbasikal. Maklumlah basikal biasanya diperbuat daripada besi, apabila banyak basikal ini terhidang di depan mata mat pit, mereka pasti suka. Dengan menggunakan kemahiran mengopak kunci, sudah pasti hasilnya sangat lumayan. Untuk berbasikal di bandar dengan lancar dan cekap, basikal yang berkualiti tinggi diperlukan. Basikal ini sangat mahal harganya. Olen yang demikian, bentuk galakan dari segi diskaun dan bantuan pinjaman kewangan kepada para pekerja yang menggunakan basikal ke tempat kerja amat diperlukan.
Sekiranya kerajaan berhasrat menjadikan berbasikal di dalam bandar sebagai satu budaya, masalah-masalah yang disebutkan di atas perlu diatasi. Antara bandar yang mesra basikal yang pernah saya lawati adalah London dan Stockholm.
Usaha berapa orang Wakil Rakyat berbasikal ke parlimen merupakan satu usaha yang terpuji. Di harapkan lebih ramai orang menyertai mereka dan di harapkan kerajaan bersungguh-sungguh di dalam usahanya menggalakkan orang ramai berbasikal di bandar.

2 comments:
benda ni aku dah main kat utusan dulu, tapi ramai pulak pengkritiknya...hmmm ...skarang bila minyak dah mahal baru terkuntang kanting..
advance hang ni. Tu la orang kita. Masalah dengan cara pemikiran yang tertutup dengan kata lain malas nak tengok dari kaca mata lain dan berdebat.
Post a Comment