Hujung minggu ini mungkin boleh dikira sebagai agak menarik. Pertama sekali, satu masalah berkaitan kerja telah selesai. Setelah bermingu-minggu bermesyuarat, akhirnya dapat juga menjalankan hentitugas dan kerja-kerja menyiasat punca kerosakan pada salah satu alatsuis semalam.
Pada hari Jumaat lepas, sebelum kerja-kerja dijalankan, kami bermesyuarat hingga pukul 11.30 malam. Kemudian, pada hari Sabtu, bangun pada pukul 4.30 pagi untuk bersiap-siap bekerja. Lebih kurang pukul 5.30 petang barulah selesai semua kerja-kerja itu. Letih juga dibuatnya, tapi syukur masalah utama sudah selesai.
Rumah Mak saudaraku menjadi destinasi pilihan sebelum pulang ke rumah. Berehat sambil melawat saudara-mara. Dek keletihan, aku tidur sahaja di rumahnya malam sabtu itu.
Pagi tadi selepas bersarapan di rumah emak saudara, aku pun menghubungi kawan lamaku setelah mengetahui beliau berada di KL. Alhamdulillah, beliaupun berkelapangan dapatlah kami bertemu.
Setelah cukup rehat, kira-kira pukul 10 pagi aku pun bertolak ke rumahnya. Setibanya di rumah beliau, kami pun bergerak ke kedai untuk membeli sedikit bekalan untuk rumah beliau. Kalau pergi ke kedai, mesti ada benda yang sangkut. Aku turut sama terjebak, tapi nasib baik beli benda yang perlu, cuma sebelum ini tertangguh kerana tidak ada masa dan mood untuk ke kedai.
Setelah selesai membeli stok makanan, kami pun keluar untuk mencari makanan tengah hari. Sewaktu dalam perjalanan, tiba-tiba aku ternampak sekumpulan manusia berbaju putih berjalan ke kedai. Kelihatan seperti pelancong. Setelah diamati, rupa-rupanya mereka adalah pemanah Korea. Sedikit hairan, kenapa mereka berada di situ. Kemudian baru aku teringat, di sebelah kedai itu ada satu lapangan sasar, maka aku terus menoleh kanan dan ternampak kain rentang pertandingan memanah peringkat asia. Tahulah aku bahawa pertandingan sedang dijalankan di situ. "Patutlah ada berita tentang memanah di dalam surat khabat beberapa hari lepas" fikirku.
Tanpa membuang masa, aku terus masuk ke komplek sukan itu untuk melihat aksi-aksi menarik. Setibanya di tempat letak kereta, kelihatan beberapa orang pemanah lelaki dan perempuan dari Kazakhstan sedang berlatih di sebelah kanan padang. Di sebelah kiri pula, kelihatan pemanah-pemanah dari pelbagai negara sedang berehat.
Atas rasa ingin tahu yang tinggi, aku mengajak kawanku ke khemah pemanah Malaysia untuk melihat dengan lebih dekat dan juga mendapatkan sedikit maklumat berkenaan pertandingan yang sedang dijalankan. Tetapi siapa pula yang hendak di temuramah? Aku berharap agar ada orang yang ku kenali agar mudah berbicara. Setelah meninjau, kelihatan Anbarasi sedang berehat sambil menikmati juadah tengah harinya di meja hadapan. Aku cuba menegurnya, dan dia membalas. Nasib baik dia masih lagi kenal akan aku, cuma lupa nama. Setelah berbual beberapa minit dan bertukar no telefon serta mengucapkan selamat berjaya, aku pun meninggalkan beliau.
Biarpun hajat untuk melihat pemanah-pemanah dari serata duni beraksi (ketika tiba waktu itu, pertandingan baru sahaja tamat dan akan bersambung semula esok hari), niat untuk menjejakkan kaki semula ke komplek sukan itu beberapa hari lepas akhirnya tercapai jua. Komplek Sukan Keramat itu amat bersejarah buat diriku. Di situlah tempat aku bermain ketika zaman sekolah menengah bersama pemanah-pemanah lain dari Kuala Selangor.
Rasa sangat teruja. Hinggakan tiba di rumah, aku terus membuat sedikit latihan gerakan di hadapan cermin sendirian. Masakan tidak, sudah lama aku tidak menarik busarku, apatah lagi bermain dalam mana-mana pertandingan sejak keluar universiti.
Sungguh tidak ku sangka, dunia yang telah lama aku tinggalkan ini, yang mana ku fikir ianya terlalu jauh hingga tidak mungkin lagi untuk aku menemuinya semula, tiba-tiba ia datang tanpa dirancang pada hari ini. Setelah hampir 10 tahun aku meninggalkan arena memanah di tanah air, tiba-tiba aku ditemukan dengan rakan seperjuangan ketika di zaman persekolahan dahulu.
Itulah dia kehebatan perancangan Allah. Pada fikiran kita ianya mustahil, tetapi bagi Allah, ianya amat mudah sekali.
Itulah hiburan untuk minggu ini, hiburan tatkala hati berduka, fikiran kusut menghadapi dugaan kehidupan tertamanya kerjaya yang mencabar ini. Syukur kepada Allah. Benarlah kata-kata sabahatku tadi, kemurahan Allah itu menjangkaui fikiran kita.
No comments:
Post a Comment