Sunday, 28 February 2010

Cinta tak bertepi

Di suatu sudut rumah itu, terbaring seorang kanak-kanak yang tidak berdaya berbuat-apa melainkan tidur sahaja. Badannya panas, sangat panas sebenarnya. Demam panas memang sangat bahaya terutama kepada kanak-kanak, kalau tak silap aku, boleh menjejaskan otak. Tetapi budak kecil itu tidak mengerti semua itu . Pada sangkaannya itu perkara biasa sahaja.

Sewaktu dia tidur, tiba-tiba dia mengigau ingin makan ais. Ais kacang atau ais krim, aku kurang pasti. Apa yang pasti kata-katanya itu sudah cukup membuatkan ibunya resah. Ibu itu terus mendekatinya lalu, meletakkan tangannya di atas dahinya, memang sangat panas. Lalu, cepat-cepat si ibu mengambil kain, direndamnya ke dalam bekas air berisi ais. Kemudian diletakkan kain tersebut di atas dahinya.

Anak kecil sedar ibunya sangat risaukan keadaannya, tetapi dia merasakan dirinya boleh bertahan lagi, tidak lah teruk sangat, lalu berkata "tak payah lah emak, saya tidak apa-apa". Ibunya tetap sahaja meneruskan sahaja usahanya.

Teringat aku ketika dia kecil, akibat terlalu gemar minum air berkarbonat, dia telah dimasukkan ke dalam hospital kerana cirit-birit. Hampir beberapa hari dia bermalam di hospital itu. Ibunyalah yang menemaninya ketika itu. Setelah kejadian itu dia sudah tidak berminat lagi minum air seperti itu.

Kini budak itu telah dewasa, dia sudah boleh berdikari, malah kata orang muda, jadi bapa orang pun boleh. Punya pekerjaan yang baik juga sedikit harta. Pada hematnya, dia tidak perlu bergantung kepada kedua orang tuanya lagi. Jika dia sakit, dia boleh pergi ke klinik sendiri. Tak perlu menyusahkan mereka lagi.

Tiba-tiba, suatu hari, kakinya bengkak. Ia sangat jelas, satu bonjolan merah menyala timbul di atas kakinya. Maka di atas nasihat ibubapanya, dia pun ke klinik untuk mengambil ubat. Tetapi nampaknya ubat itu tidak banyak membantu. Anak itu bertahan sahaja. Dalam diam, ibu bapanya ligat berfikir mencari jalan membantu anaknya itu. Mungkin salah urat fikir mereka.

Ketika di masjid, sebelum pulang ke rumah, dipanggil anak itu untuk bertemu dengan sepasang suami isteri yang pandai mengurut untuk melihat-lihat keadaan kakinya. Dengan segan-silu dia pun menunjukkan kakinya. "Sikit sahaja ni, tekan-tekan sikit inshallah baiklah" Masing-masing lega mendengarkan kata-kata makcik itu. Setibanya di rumah, dipanggil anak itu, lalu diurutilah kaki anak itu perlahan-lahan. Terasa lega dan kadang-kadang sakit.


Ibu bapa, tak kira berapa usia anak mereka, anak-anak itu tetap sama di mata dan hati mereka. Akan tetap dikasihi, disayangi dan dilindungi. Setinggi-tinggi penghargaan buat ibu bapa sedunia. Anda memang hebat! Besar sekali pengorbanan kalian.

p:s/ Selesai membaca buku Man and Boy karangan Tony Parsons. A good insight into family life. Tidak dinafikan pandangan alam sedikit berbeza dan ada adegan yang tidak menyenangkan, kerana tidak dipandu oleh syarak. Tetapi nilai kemanusiaan yang universal yang terdapat didalamnya boleh dijadikan pengajaran.

Buku ini menceritakan bagaimana kedudukan seorang dewasa yang merupakan seorang anak kepada bapanya juga seorang bapa kepada anaknya. Sangat menarik. Turut mengupas krisis kekeluargaan setelah watak lelaki itu mencapai usia 30 tahun. Di mana kehidupan tidak sama lagi seperti zaman awal perkahwinan. Boleh tahu serba sedikit apa yang dimaksudkan di dalam carta yang ditunjukkan dalam kursus kahwin dahulu. Tetapi untuk memahaminya, perlu dilalui sendiri kot. Apapun semoga Allah memelihara aku daripada perkara sedemikian.


Note: This entry was originally posted at http://brotherabn.blogspot.com

1 comments:

mascta@puTiH said...

urm..interesting story.
Betul tu,ibu bapa sentiasa berada di sisi kita tak kira kita dah dewasa..mereka tetap ingin membantu kita jika kita menghadapai sesuatu masalah...