Ustaz Nazri sedang bersiap-siap di hadapan sebelum memulakan kuliah maghribnya. Al-quran besar diletakkan di atas rehal sambil beliau cuba-cuba membaca mushaf tersebut dalam kedudukan berdiri ketika solat, takut-takut tak nampak ketika mengimami solat tarawikh nanti.
Sementara itu, aku pula mencari tempat duduk yang sesuai. Ruang kosong berhampiran tempat duduk Dato' Baharom di tengah-tengah perkarangan masjid itu menjadi pilihanku.
Ikutkan hati mahu saja aku duduk dekat-dekat dengan meja Ustaz Nazri, sepertimana zaman sekolah dulu, semua orang bersesak-sesak mahu mendekati guru, ikut contoh para sahabat. Tapi di masjid-masjid, semuanya mahu menjauhkan diri dari guru, tiang-tiang dan dinding-dinding lebih menjadi pilihan. Aku segan untuk ke hadapan, lebih-lebih lagi tak bawa buku.

Suasana Di dalam Masjid Bandar Bukit Puchong, sebelum ia dibuka secara rasmi Ogos lepas.
Ketika itu, aku masih lagi dalam keadaan yang mixed feeling setelah melalui siang yang lain daripada biasa. Rasa macam tak percaya juga. Apapun syukur. Juga syukur kerana dapat menjejakkan kaki ke sekolah Ramadhan tahun ini.
Di dalam keheningan malam itu, hatiku terasa tenang sekali, fikiranku melayang. Aku teringat betapa pada Jumaat yang lepas, aku sedang sibuk dan teramat risau akan kerja. Betapa aku terasa tertekan dalam minggu-minggu sebelum ini. Kini semuanya bagaikan sudah hilang. Alhamdulillah.
Sambil-sambil merenung pengalaman itu, tiba-tiba baru aku tersedar, mungkin cabaran dan tekanan yang aku lalui sebelum ini adalah tarbiah daripada Allah. Allah mahu mengajarkan aku erti pergantungan kepada-Nya, erti sabar, erti usaha, serta erti pengorbanan.
Memang benar, betapa manisnya dapat menyelesaikan tanggungjawab dengan baik. Terasa puas dapat mencapai matlamat yang ditetapkan. Juga bangga dengan diri sendiri kerana mampu melaksanakan tugasan yang diberikan.
Tetapi, semua itu tidak akan dikecapi tanpa usaha yang gigih. Perlu bermujahadah menghadapi pengalaman-pengalaman seperti tidak dapat tidur, merayu meminta tolong, tertekan dek expectation dan demand yang tinggi daripada bos, stress akibat masalah yang timbul ekoran miscommunication, terhimpit dengan working window yang sangat sempit dsb.
Benarlah pesan para Ustaz, bersabar dan solat. Ketika tekanan memuncak, di mana hampir-hampir kerja aku tidak dapat dilaksanakan kerana pihak Transmission tidak maklum akan kerja yang akan dilakukan, tidak ada apa lagi yang boleh ku gantungkan harapan melainkan kepada Maha Pencipta. Solat hajat dua rakaat didirikan sebelum tidur. Ku pinta moga-moga esok akan ada jalan keluar bagi membolehkan kerja aku itu dilaksanakan juga. Tidurku tidak lena. Sekejap-sekejap terjaga. Aku hanya mampu berdoa 'Rabbi Yassir wala tu-'assir, Rabbi tamim bil khair'
Alhamdulillah, esoknya satu persatu jalan dibuka. Bos Transmission beri greenlight. Standby engineer pun sudah lembut hati untuk membantu. NLDC beri kelulusan. Akhirnya pada tengah hari Sabtu lepas semuanya selesai dan sedia untuk bekerja pada malam Sabtu itu. Kerja pada malam sabtu pun berjalan dengan lancar dan cepat sekali. Kami berjaya menyelesaikan masalah kejanggalan yang dikesan.
Kami berasa sangat gembira setelah berhempas pula berkali-kali untuk menyelesaikan masalah tersebut. Dan akhirnya kerja pada Sabtu lepas telah mengakhiri espisod yang getir bagi kes tersebut.
Pengalaman telah menjadi guruku. Pengalaman telah membuktikan sebenarnya aku mampu melaluinya. Hanya aku perlu berkorban demi mencapai matlamat yang besar itu. Tanpa pengorbanan, mungkin aku tidak akan berjaya. Itu dalam urusan dunia, apakah aku akan bersikap sedemikian juga dalam urusan akhirat? Muhasabah diri.
Teringat akan aktiviti bersama En Fauzi di OBM dahulu. Kami diminta untuk meregangkan getah sekuat-kuatnya. Kemudian diminta melihat perubahan yang berlaku terhadap getah tersebut. Ia telah berkembang, dari situ dia menyimpulkan, kita manusia pun sama, untuk berkembang kita perlu stretch, dan tentunya ia menyakitkan.
Alhamdulillah, gembira apabila dapat discover benda baru melalui pengalaman, semoga pengalaman ini mematangkan aku dan menyediakan aku untuk mencapai cita-cita yang lebih besar, insha-Allah.
1 comment:
salam,
saya pernah dengar kata-kata bahawa cabaran dan suka duka yang kita sentiasa hadapi setiap hari adalah untuk memberi kita pengalaman supaya layak menjalankan amanah sebagai khalifah di dunia ni....hurmmm
Post a Comment