Kita tak selalunya betul
Setiap kali dihujung Majlis Fikir selepas solat Asar berjemaah di surau As-Saad, Kolej Matrikulasi Yayasan Saad, para peserta diperingatkan agar beristighfar jika cadangan yang dikemukakan diterima atau menyebut Alhamdulillah sekiranya cadangan yang dikemukakan ditolak. Hikmahnya, kita tidak tahu apakah cadangan yang dikemukakan itu benar-benar membawa kebaikan. Takut-takut cadangan yang diterima itulah yang menyebabkan membawa natijah yang sebaliknya.
Dalam salah satu aktiviti dalam program latihan minggu lepas, kami telah diminta untuk membuat satu latihan berkenaan menentukan keutamaan dalam memilih barang-barang yang perlu dibawa setelah kapal angkasa yang dinaiki untuk mengelilingi bulan terpaksa melakukan pendaratan cemas.
Pada peringkat pertama, setiap peserta perlu membuat pilihan secara sendirian. Kemudian, pilihan dibuat secara berkumpulan. Sewaktu membuat pilihan yang ketiga di dalam kumpulan tersebut, aku mencadangkan agar kumpulan kami memilih heater kerana seingat aku, sewaktu briefing, kami diberitahu bahawa kapal angkasa itu telah mendarat di kawasan yang gelap. Menurut hematku, di bulan, kawasan yang gelap itu suhunya sangat rendah. Maklumlah tiada lapisan atmosfera yang mampu berfungsi sebagai 'regulator' suhu di permukaan bulan. Aku dapati hanya dua orang sahaja bersependapat denganku. Yang lain memilih benda lain.
Tetapi disebabkan aku mempunyai perasaan yang kuat bahawa pendapatku adalah betul, aku cuba mempengaruhi semua orang didalam kumpulan untuk menerima pendapatku dengan mengemukakan bukti-bukti berdasarkan pengalaman di UK, di mana sewaktu musim sejuk, ada satu masa, suhu jatuh merudum secara tiba-tiba sehingga ke tahap di bawah parah 0 darjah celcius, ramai homeless yang tidak bersedia dan menjangkakan keadaan itu akan berlaku, mati akibat kesejukan melampau. Akhirnya mereka akur dek kesungguhanku itu. Terdetik di hati ini rasa gembira dan puas kerana pendapatku diterima oleh ahli kumpulan.
Setelah semuanya selesai, fasilitator telah mengemukakah keputusan yang diberikan oleh pihak NASA. Setiap perbezaan di antara pilihan yang dibuat kumpulan dengan keputusan NASA hendaklah dicatatkan. Satu persatu keputusan NASA diumumkan. Kami berasa gembira kerana pilihan kami tidak lari jauh dari skema jawapan.
Walaubagaimanapun, apabila aku melihat kepada Heater, aku dapati terdapat perbezaan markah yang begitu ketara, 10 markah. Rupa-rupanya, heater tak penting. Setelah membaca semula kertas soalan, barulah aku sedar, sebenarnya tak dinyatakan pun kapal angkasa itu jatuh di kawasan gelap. Alangkah kecewanya aku. Rasa bersalah pun ada (Terasa seperti membawa kumpulan ke jalan yang salah, Hu Hu)...
Nah, sebelum ini aku menerima peringatan itu berdasarkan andaian sahaja. Aku kurang pasti apakah ia boleh berlaku. Tetapi, pengalaman kali ini telah membuktikan kebenarannya. Kekecewaan dan kepedihan yang jelas dirasai. Betapa lemahnya insan...
1 comments:
The temperature on the moon varies from -387 Fahrenheit (-233 Celsius), at night, to 253 Fahrenheit (123 Celsius) during the day. Because the moon has no atmosphere to block some of the sun's rays or to help trap heat at night, its temperature varies greatly between day and night.
Wallahu'allam.
Post a Comment