Pada petang Ahad yang lepas, aku telah menerima sms dari sahabatku yang mengatakan bahawa dia dan keluarganya berada di Sunway selama dua hari dan aku dijemput untuk melawat ke 'rumahnya' untuk melihat anaknya yang baru dilahirkan beberapa bulan lalu. Peluang keemasan ini tidak ku lepaskan. Maklumlah dia duduk jauh, dan selalu travel, sukar sekali buat diriku untuk bertemu dengannya dan juga keluarganya. Alang-alang sudah berada dekat-dekat Puchong ni, kena pi la. Sebenarnya sudah lama dia ajak aku tengok baby-nya yang pertama itu dan aku juga sudah lama ku berhajat nak pi tengok baby dia, cuma tiada kesempatan sebelum ini.
Maka aku telah berjanji untuk berjumpa selepas solat Maghrib pada hari Isnin kesokannya, iaitu selepas kerja. Aku tiba agak lewat kerana siap lambat akibat tertidur. Alhamdulillah aku sangat gembira dapat bertemu beliau dan keluarganya. Anaknya berada dalam keadaan yang sihat dan comel sekali. Bayi ini memang seronok dilihat, kata orang, kerana mereka bersih dari dosa. Aku juga diberi peluang medukung anaknya. Sebelum itu, dia tanya, "reti tak nak pegang ni?" Selepas itu kami pun makan malam bersama-sama sambil berkongsi cerita dan bertanya khabar.
Sesudah dia menghabiskan makanan, giliran isterinya pula makan. Sewaktu isterinya baru hendak mula makan, bayi itu menangis kerana mengantuk. Sahabatku cuba memujuknya agar tidak menangis. Aku duduk diam sahaja, melihat bayi itu menangis sambil meneruskan makan. Tiba-tiba sahabatku bertanya, "Abn, dah ready ke untuk ni?" dengan senyuman sinis seolah-olah memberi isyarat bahawa bukan senang nak jaga bayi kecil ini, apa kamu sanggup menghadapinya?
Aku terkedu seketika, apa yang harus aku jawab. Aku pun tidak tahu apa yang aku perlu katakan. Aku hanya membalasnya dengan senyuman dan ketawa sahaja.
Persoalannya itu membuatkan aku berfikir bagaimana rupanya akan kehidupan jika berkahwin. Dari pemerhatianku dan cerita-ceritanya, rupa-rupanya perkahwinan itu bukan semudah yang diceritakan orang, terutamanya oleh promoter-promoter baitul muslim. Misalnya orang kata rezeki akan bertambah, tetapi realitinya rezeki itu kena diusahakan, bukan duduk diam sahaja akan terus dapat rezeki bertambah-tambah, katanya. Menangani perbezaan antara antara suami isteri juga agak sukar, banyakkan bersabar pesannya. Kadang-kadang, terpaksa mengorbankan perkara-perkara yang disukai demi kesejahteraan keluarga. Mendengar ceritanya, terasa berat sungguh perkahwinan itu walaupun aku pernah baca cerita-cerita sebegini dalam buku yang dipinjamkan oleh Helmi - Di Jalan Dakwah, Aku Menikah.
Melihat keadaan beliau yang sudah beristeri dan anak, membuatkan aku terfikir akan cara aku melihat orang. Ketika kawan-kawan kita sama-sama bujang, boleh dikatakan kita boleh jumpa dan pergi ke rumah kawan-kawan kita hampir bila-bila masa dan boleh selalu buat aktiviti bersama. Bila kawan kita sudah berkahwin, kita akan berkata, "kawan aku sudah jadi suami orang sekarang." Kemudian apabila mereka dikurniakan cahaya mata, aku berkata, "wah, kawan aku dah jadi bapa orang". (Perenggan ini mungkin kelihatan seperti kurang jelas atau tergantung. Sekadar menceritakan expression aku apabila melihat rakan-rakan yang berada dalam pelbagai fasa kehidupan.)
Apabila dilihat kembali ke belakang (lipatan sejarah kehidupan) terasa betapa cepatnya masa berlalu. Baru sahaja kenal sahabat ini. Dulu semasa baru kenal dia masih lagi bujang. Kini, sedar-sedar dia sudah ada anak. Tiba-tiba aku terfikir pula isu mendidik dan membesarkan anak. Betapa cepatnya seseorang itu menghadapi perubahan dalam fasa kehidupan apabila dia berkeluarga. Kalau tak bersedia menghadapi perubahan-perubahan tersebut parah dibuatnya. Betullah kata Abang Amin, "kena sedia awal, karang tiba-tiba dah dapat baby tak tahu nak buat apa".
Wah besar sungguh rupanya perkahwinan ini. Tidak hairanlah kenapa perkahwinan itu separuh daripada agama.
Diriwayatkan dari Anas bahwa Nabi saw. bersabda, “Apabila seorang hamba (manusia) telah kawin, maka ia telah menyempurnakan separuh agama, karena itu hendaklah ia bertakwa kepada Allah dalam separuh yang tersisa.”(Dan dalam suatu riwayat pada Thabrani dengan lafal ,” Barangsiapa yang kawin, maka sesungguhnya ia telah menyempurnakan separuh iman, karena itu hendaklah ia bertakwa kepada Allah dalam separuh yang tersisa.”) (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Syu’abul Iman). -dipetik dari bicara muslim.com
p/s: Sorry la kalau penulisanku blur-blur. Sebab aku pun blur macam mana nak express idea on this mater.
4 comments:
Tak sabar nak jumpa sahabatmu itu. Masih terasa baru bertemu di stadium Perak bila masing2 masih 'single'.
He he. Tu lah. Balik cepat2
Selamba tak sedia berkahwin... Selamba tak sedia untuk menimang cahaya mata... Selamba tak tahu menerima cabaran ini secara selamba...
"Aku pun tidak tahu apa yang aku perlu katakan. "
Jawapan itu adalah suatu yang neutral. Tidak membawa sebarang maksud tidak bersedia mahupun sebaliknya.
Post a Comment